Sabtu, 4 Ogos 2012

SOLAT KITA : LALAI @ KHUSYUK


"Usolli fardhu zuhri arbaa rakaatain lillahitaala...Allahu Akbar"
Hish...kat mana letak resepi kek tu, tak apalah, rasa boleh ingat sikit-sikit.

"Allahu Akbar"
Emm..gula halus, serbuk koko memang ada lagi, lebih buat biskut hari tu.
Telur...nak berapa ye, rasanya 3 biji cukup.

"Allahu Akbar"
Haa..mentega dengan tepung kek tak ada, kena beli ni.

"Allahu Akbar"
Macam biasa gula dengan mentega mesin dulu.
Lepas tu masuk telur dulu baru tepung.

"Allahu Akbar"
La baru ingat kena guna air kotak coklat.

"Allahu Akbar"
Nak guna acuan bulat ke empat segi.

"Allahu Akbar"
Ok, dah gaul semua, bakar dalam oven.

"Assalamualaikum warahmatullah..."
"Assalamualaikum warahmatullah..."

"Astaghfirullahal azim...Ya Allah...lalainya aku. Siap sebiji kek dalam tengah solat.
Astaghfirullahal azim..."


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya. "

IMAM AL-GHAZALI memberi gambaran orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang diucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, atau bacaan yang lain, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap.

karmila : Moga kita terus bermujahadah melawan nafsu dan bisikan syaitan bagi menggapai kenikmatan khusyuk dalam solat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan