Sabtu, 4 Januari 2014

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH : PENAKLUK KONSTANTINOPEL


Nama Buku : Sultan Muhammad Al-Fateh : Penakluk Konstantinopel
Penulis : Abdul Latip Talib
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga : RM 24.00
Genre : Novel Sejarah Islam (336 mukasurat)


"Membaca novel sejarah tulisan penulis ini, memberikan persepsi yang berbeza tentang tanggapan mengenai buku-buku cerita sejarah yang dirasakan sebelum ini begitu membosankan dan melemaskan dengan fakta-fakta. Namun begitu, wajar diberikan kredit kepada penulis ini kerana beliau berjaya menghidupkan sejarah dalam penulisan beliau tanpa sedikit pun mengabaikan fakta-fakta sejarah. Berdasarkan kreativiti penulis, beliau berjaya menghidupkan sejarah lantas pembaca tidak merasakan membaca sejarah bahkan dapat melihat sejarah bercerita. Membaca novel sejarah sebenarnya boleh menjadi pencetus kepada minat untuk mengetahui tentang sejarah mengenai tokoh atau peristiwa besar yang terpahat di lipatan sejarah. Namun, pembaca tidak digalakkan menjadikan buku novel sejarah sebagai rujukan utama kerana dikhuatiri ada sebahagian plot penceritaan mungkin hanya berdasarkan imaginasi penulis untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik tanpa merosakkan fakta sejarah. Pembaca seharusnya merujuk buku/jurnal penulisan sejarah atau sebarang artikel ilmiah untuk bacaan lanjut."

Sipnosis :
“Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”- Ahli Sejarah Byzantine

"Suasana pagi itu sungguh syahdu. Tentera Islam melaungkan takbir dan tahmid sebagai tanda syukur dan gembira kerana berjaya menawan kota Konstantinopel. Selepas berlaku pertempuran selama 53 hari dan selepas ramai yang syahid, akhirnya hadis Nabi Muhammad SAW itu menjadi kenyataan."
"Mari kita bersihkan gereja Aya Sophia kerana ia bakal dijadikan masjid," kata Sultan Muhammad Al-Fateh. Apabila tiba hari Jumaat, mereka bersedia mengerjakan solat Jumaat. Timbul pertanyaan siapakah yang layak menjadi imam. "Carilah orang yang lebih bertakwa antara kamu bagi dijadikan imam," kata Syeikh Syamsudin Al-Wali mencadangkan.
Sultan Muhammad Al-Fateh keluar ke kawasan lapang di depan masjid itu. Kemudian baginda menyuruh semua tenteranya berdiri lalu berkata,"Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardu lima waktu, sila duduk!" Tidak ada seorang pun yang duduk menandakan kesemua tentera baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu lima waktu. Kemudian ditanya lagi, "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk." Separuh antara tenteranya duduk. Kemudian ditanya lagi, "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajud, sila duduk." Semua yang berdiri, duduk kecuali seorang. Dia adalah Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Semenjak dari akil baligh baginda tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, solat rawatib dan solat tahajud. "Tuanku yang paling layak menjadi imam," kata Syeikh Syamsudin Al-Wali.


Sultan Muhamad Al-Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun. Ketika berumur 19 tahun beliau menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad. Baginda menjadikan Adrianopel (Adana) pusat pemerintahan dan ibu kotanya bagi memudahkan cita-citanya menawan Konstantinopel. Dan ketika berusia 21 tahun Sultan Muhamad Al Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857 Hijrah.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul (Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Sebelum itu Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel akan ditawan oleh orang Islam.

Setelah lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Ayyub Al-Anshari RA gugur syahid lalu dikebumikan di sisi benteng Konstantinopel.

Sultan Muhammad Al-Fateh sejak dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad (ayah kepada Muhammad Al-Fateh):

“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu,” sambil menunjuk Muhammad Al-Fateh yang masih di dalam buaian.

Sejak itu Muhammad Al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Sultan Muhamad Al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad Al-Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad Al-Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Semoga Allah memberi keampunan dan dilimpahkan rahmat kepada Sultan Muhammad Al-Fateh.


karmila : Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menakluk Konstantinopel bukan kerana baginda membawa kebenaran mahupun keadilan. Hakikatnya baginda beroleh kemenangan apabila baginda dan angkatan tenteranya telah memenuhi prasyarat kemenangan yang telah dijanjikan Allah. Keimanan yang mantap, akhlak yang terbaik dan ilmu kepakaran yang tinggi menjadi asbab kepada kemenangan. Kejayaan orang Islam hanya dapat dicapai melalui taqwa. "...Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa."(Maksud ayat 19 Surah Al-Jaathiyah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan