Ahad, 2 Februari 2014

HIASI DIRI DENGAN KEBAIKAN



Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga di mana-mana pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin."Apa khabar daun hijau," katanya.

Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang."Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau."Aku hampir tidak mendapatkan dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.

"Tentu.. tentu.. dekatlah ke mari." Daun hijau berfikir, "Jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah."

"Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau. Setelah makan dengan kenyang ulat berterima kasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat.

Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.


MOTIVASI DIRI - BERKORBAN ITU INDAH JIKA DILAKUKAN DENGAN SEIKHLAS HATI DAN KERANA ALLAH. BERKORBAN KERANA MANUSIA ATAU DISEBABKAN SESUATU PERKARA HANYA AKAN MEMBUAT DIRI TERKORBAN SIA-SIA.

Pertama :
Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri bagi sesama manusia memang tidak mudah, tetapi indah.
Kedua :
Ketika berkorban, kita mungkin akan rasa kehilangan, kesedihan dan kesempitan namun itu sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, Allah akan tetap merahmati dan memelihara kita.
Ketiga :
Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Oleh itu, isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih sayang, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.
Keempat :
Jadikanlah pergorbanan itu sebagai sesuatu yang menyenangkan dan membawa kebahagiaan dalam hidup kita, nescaya akan lahir jiwa besar dalam diri kita.


karmila : Dalam hidup ini, ada kalanya kita akan menjadi "ulat kecil" yang menerima kebaikan orang dan ada kalanya kita menjadi "daun hijau" yang senang memberi. Namun, perasaan kita tidak akan sama dalam dua keadaan tersebut. Bila mana menerima kebaikan orang, kita akan berasa sangat menghargai di atas bantuan yang dihulurkan. Namun jika kita yang memberi, kita akan dapat merasai satu perasaan yang sangat mengesankan dalam jiwa, iaitu rasa kepuasan dapat membantu sesiapa sahaja di saat kesusahan. Pasti hidup akan menjadi begitu bermakna apabila diisi dengan berbuat kebaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan