Isnin, 18 November 2013
MEMAHAMI PERJUANGAN ISLAM SIRI 2
"Memahami Perjuangan Islam Siri 2". Sambungan daripada kuliah yang pertama. Ustaz Suhaimi berkongsi sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa hijrah ke Madinah bersama Abu Bakar melalui huraian ayat 39 dan 40 dari Surah At-Taubah. Ayat tersebut memberikan ibrah (pengajaran) yang cukup bermakna dan mesej yang begitu signifikan buat pejuang Islam.
"Islam yang menjadi perjuangan kita, bukan milik kita tetapi milik Allah SWT. Kita hanya menjadi asbab kepada perjuangan Islam. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu mampu untuk memastikan kemenangan agamaNya dan memuliakan NabiNya tanpa perantaraan makhluk. Akan tetapi, Allah Taala ingin menjadikan kemenangan Islam melalui usaha hambaNya sebagai satu kemuliaan kepada mereka dan bukan kemuliaan untuk diriNya. Oleh itu, kita perlu berdoa kepada Allah agar kita menjadi asbab kepada perjuangan ini dan kita mengharapkan ganjaran syurga Allah SWT."
OLEH : USTAZ SUHAIMI ABD WAFIR
MEMAHAMI PERJUANGAN ISLAM SIRI 2
Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (At-Taubah : 39)
Huraian I :
"Kalau kalian enggan keluar berjuang atau tidak mahu menolong agama Allah. Nescaya Allah akan azab dengan azab yang pedih. Allah akan utuskan pemimpin yang jahat untuk mengatur urusan kalian, kalian akan rasa tidak selesa. Allah akan tukar dengan kaum yang lain sama ada gantikan dengan orang lain atau ada orang lain yang Allah hantar untuk melakukan kerja-kerja Islam. Oleh itu, buat kerja Islam adalah wajib, untuk kita ambil kuasa dari pemimpin yang tidak amanah untuk beri kepada pemimpin yang amanah."
"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah : 40)
Huraian II :
"Perjuangan ini bersama-sama dengan pertolongan Allah. Sewaktu peristiwa hijrah, hanya dua orang sahaja iaitu Nabi Muhammad dan Abu Bakar sewaktu di Gua Tsur. Rasulullah SAW memberikan jiwa besar kepada Abu Bakar; "La Tahzan. Innallaha ma'ana."
"Sesungguhnya di dalam perjuangan Islam :
(1) Bersama dengan perjuangan ini adalah Allah.
(2) Allah berikan sakinah-ketenangan dalam perjuangan.
(3) Allah utuskan bala tentera yang tidak dapat dilihat (para malaikat).
"Janji Allah adalah pasti. Ingat, kalimah kekufuran itu tetap akan diturunkan oleh Allah ke bawah. Kalimah Allah itu tetap diangkat tinggi oleh Allah kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
"Seandainya kalian rasa letih atau susah dalam perjuangan. Sesungguhnya, mereka (musuh Allah) juga rasa letih, rasa penat dan susah. Cuma, kalian ada satu rahsia besar, iaitu kalian mengharapkan Allah, kalian ada harapan Allah dalam perjuangan ini sedangkan mereka tidak ada harapan Allah dalam perjuangan mereka."
karmila : "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan