
Sekapur Sirih,
Seulas Pinang,
Ucapan Terima Kasih,
Kerana Sudi Bertandang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas Junjungan tercinta Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Sesungguhnya berkat pengorbanan dan semangat juang baginda dan para sahabat, kita berkesempatan mengecapi nikmat hidup di dalam Iman dan Islam. Salam penuh penghormatan dan kesejahteraan juga kepada seluruh pejuang yang menginfakkan pengorbanan yang tinggi dalam menegakkan kebenaran Ilahi di muka bumi ini.
Salam perkenalan, salam ukhuwah dari saya kepada sesiapa jua yang melayari blog saya ini. Blog ini berkonsepkan santai dan ringan tetapi informatif. Blog ini mungkin berbeza dengan blog-blog sedia ada yang kebanyakannya memaparkan berkenaan isu semasa, info produk dan perkhidmatan, pengalaman peribadi dan sebagainya – namun pada saya, blog ini boleh diibaratkan sebagai buku skrap versi internet (e-scrap book). Saya percaya tentu ada di antara kita gemar membuat koleksi peribadi seperti mengumpul keratan akhbar dan majalah yang mengandungi petikan kata-kata nasihat, madah pujangga, puisi, lirik lagu, resepi, karikatur, cerpen dan email. Cetusan daripada idea inilah, maka lahirnya blog saya ini. Daripada saya membiarkan koleksi saya bertukar warna atau kena makan dek lipas, lebih baik rasanya saya berkongsi di blog ini. Selain itu, ia juga sebagai menyahut seruan “save the environment – use less paper”.
Akhir kata, saya ingin memohon keizinan daripada tuan punya karya asal (sekiranya ada) agar dihalalkan penyiaran artikelnya di dalam blog saya ini. Sesungguhnya niat saya hanya sebagai memenuhi tuntutan hadis Nabi SAW yang bermaksud : “Sampaikan olehmu walau dengan satu ayat”. Semoga karya anda dapat memberi manfaat kepada individu lain dan semoga Allah memberikan pahala yang berterusan di atas ilmu yang anda titipkan. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan