Memaparkan catatan dengan label MUTIARA NASIHAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MUTIARA NASIHAH. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Ogos 2016

CANTIKNYA WANITA DI KALA USIA 40AN


Maha Suci Allah yang mencipta usia setiap insan, bermula dari alam rahim, alam bayi, alam kanak-kanak, alam remaja sehinggalah menginjak dewasa, Tuhan Ar-Rahman yang menentukan panjang atau singkatnya umur setiap hambanya. Oleh itu, kita dapati secara jelas Al-Quran memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna yang mendalam agar kita menjalani baki usia tersebut dengan penuh insaf, bersyukur dan berhikmah.


USIA 40 DALAM AL-QURAN

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. “Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)". Surah al-Ahqaf ayat: 15

Seharusnya wanita yang berusia 40 tahun ke atas memiliki sifat-sifat baik dan mempercantik karaktor keperibadiannya, sehinggakan Allah menyebut satu persatu sifat-sifat itu di dalam kalamNya yang agung ini.

CANTIK DENGAN BERSYUKUR

Kesedihan ketika diuji boleh diubat dengan rasa syukur dan bersangka baik kepada Allah SWT. Semakin bertambah usia, beban kehidupan itu semakin berat, jika kita menganggap baik segala takdir yang telah ditentukanNya akan ringanlah segalanya kerana kita percaya ada hikmah yang Allah simpan. Wajah yang kelihatan tua sebenarnya menyimpan kesedihan yang melampau dan kemarahan yang ditahan atas takdir yang terjadi.

Namun wanita yang redha dan bersyukur sentiasa tersenyum, manis akhlaknya hatta ketika ditimpa ujian yang berat kerana dia percaya ramai yang berjaya melaluinya dengan hati yang bersyukur. Sifat syukur seorang isteri telah menjadikannya seorang yang amat menghargai suami, anak dan orang di sekelilingnya. Dia menjadi pemurah dengan memberi maaf kerana rasa syukur itu berjaya menutupi kekurangan orang lain.

CANTIK DENGAN MENJAGA AMAL SOLEH

Usia 40 tahun masa terbaik untuk menyediakan bekalan menuju kematian, telah kering kejelitaan yang melalaikan dan tiba masanya bersedia pulang kepada Allah SWT. Apabila tiada ikhtiar mencari jalan Allah kerana anda disibukkan oleh urusan dunia, ketika itu sebenarnya anda telah dituakan oleh masalah dan tekanan dalam kehidupan.

Setiap detik jika tidak diisi dengan amal soleh, akan terisi amal yang tidak memberi manfaat pada akhirat, kegagalan menguruskan masa di usia 40 tahun akan memberi impak negatif pada kecantikan rohani dan jasmani.

Amal soleh seorang wanita yang rutin dilakukannya bukan hanya solat sahaja bahkan seluruh kerja-kerja yang diredhai Allah adalah ibadah baginya. Anda tidak akan tua kerana kerjaya dan kerja rumah tangga, anda hanya akan dituakan oleh dosa-dosa yang menyesakkan dada dan menghitamkan hati serta mereputkan seri wajah.

CANTIK DENGAN MENJAGA ZURIAT YANG SOLEH

Agenda terbesar pada hari ini dimulakan dengan mengajak anak-anak solat subuh, menguruskan akhirat mereka sebaik anda menguruskan makan minum mereka. Kemudian memastikan ilmu menjadi keutamaan dan kasih sayang menjadi landasan disiplin di rumah. Tiada kata-kata kesat yang membantutkan akhlak mulia dan cuba memahami perubahan jiwa anak-anak dengan mengawal stres bersama.

Bukan hanya ibu yang menghadapi tekanan, anak-anak pun manusia juga yang sentiasa letih, lupa dan lalai. Ibu yang memiliki kecantikan dalaman di mata anak-anaknya adalah ibu yang amat penyabar, rajin memberi motivasi dan inspirasi.

CANTIK ITU SENTIASA BERTAUBAT DAN KEKAL DALAM ISLAM

Ciri-ciri kecantikan wanita usia 40 yang terakhir adalah suka bertaubat dan istiqamah dalam Islam. Taubat bermakna anda mencari aib diri dan memohon ampunan Allah, tidak sibuk melihat aib orang lain dan lupa diri sendiri. Taubat melahirkan sikap berhati-hati, tidak selesa dengan iman yang ada dan sentiasa mencari kelemahan amal, ilmu dan ibadah di sisi Allah. Betapa ramai orang yang tergelincir dari jalan Allah, dulu beriman sekarang lalai, dulu solat sekarang tak buat, dulu merendah diri sekarang sombong lupa diri, dulu bertudung sekarang berbaju seksi, dulu suka mengaji sekarang tak kenal akhirat lagi. Semoga kita dijauhkan dari kaki-kaki yang tergelincir oleh permata dunia dengan doa : “Wahai Tuhan kami janganlah Engkau sesatkan kami setelah Engkau beri petunjuk dan kurniakanlah kami rahmat di sisiMu sesungguhnya Engkau Maha Pemberi kurnia.” (Surah Ali-Imran ayat: 7)

karmila : Semoga kita semua dirahmati dengan kecantikan hakiki bukan sebab guna kosmetik tak asli tetapi kerana mengikuti teladan dalam ayat Al-Quran sebagai wanita berusia 40 yang cantik di sisi Ilahi.

Rabu, 24 Ogos 2016

LIFE BEGINS AT FORTY


"Life begins at forty". Betul ke kehidupan bermula pada usia 40 tahun?
Ada yang berpandangan salah, percaya dan beranggapan hidup hanya sekali, so, apa salahnya kita buat sesuatu yang kita suka. Lantas, kehidupan seharian diisi dengan perkara yang sia-sia, berhibur dan berseronok semata-mata mengikut runtunan hawa nafsu.
Namun begitu, jika dilihat dari sudut pandang yang positif, seseorang yang menjejaki usia ini sebenarnya berada pada satu tahap kematangan, nilai peribadi serta akhlak yang sempurna dan mampu membuat keputusan dengan matang lagi bijaksana. Umur ini juga merupakan permulaan umur dewasa yang selayaknya seseorang berfikiran lebih waras dan melakukan sesuatu berasaskan pertimbangan akal yang sempurna.
Yang lebih menarik, Al-Quran secara spesifik menyebut tentang umur 40 tahun agar menjadi peringatan supaya manusia mula bermuhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan diri sendiri.

Jom semak diri !



Pabila Usia Mencapai 40 Tahun

Ramai tidak sedar di dalam Al-Quran ada menyentuh tentang usia 40 tahun ini. Tentu ada perkara yang sangat penting, perlu diberi perhatian dan diambil serius akan perkara ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. “Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai usianya empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas di dalam ayat tersebut. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah;

Maksudnya : "Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?" (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) Kematangan.

Mencapai Usia Kematangan

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini.

Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas: “Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari). Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun. Soeharto menjadi presiden pada umur 46 tahun. J.F. Kennedy 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47 tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting ?

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )
Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,

Maksudnya : "Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi." (Riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja.

Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’e tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”

What To Do ?

Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang. Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.

Ganjaran dari Allah

“Mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka”. (Al-Ahqaf: 16).

Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima segala kebaikan, diampun segala kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin

karmila : Berikanlah pertolonganMu Ya Allah, untuk aku terus beristiqamah pada usia ini !

Jumaat, 5 Ogos 2016

KISAH SEORANG YANG TIDAK TAHU MEMBACA AL-QURAN, TETAPI KUBURNYA BERCAHAYA MENJULANG KE LANGIT


Saya ingin berkongsi satu kisah yang menyentuh jiwa. Kalau kita search melalui Mr.Google memang banyak blog atau FB yang turut berkongsi kisah ini.  Walaupun tidak pasti kesahihan sumbernya, tetapi mungkin boleh kita dapatkan iktibar dan pengajaran melalui kisah tersebut.  Yang pasti, Al-Quran adalah Kalam Allah dan sudah tentu barangsiapa yang memuliakan Al-Quran pasti mendapat keberkatan dari Allah. Al-Quran bukan hanya pemberi syafaat di akhirat kelak bahkan Al-Quran yang dibaca menjadi peneman kita di alam kubur.  Allahu Akbar !

Sebuah kisah diceritakan bahawa seorang lelaki melalui sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit.  Terpegun dan kaku melihat kejadian itu.  Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa.  Samada ia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah.  Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.  Keesokan harinya lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani beberapa orang kampung.  Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung ke rumah simati dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di perkuburan suaminya.  Anehnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenal suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani biasa saja.  Bukan seorang alim, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru Al-Quran.  Malah suaminya tidak pandai membaca Al-Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Al-Quran.

Akhirnya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.  Akhirnya isteri si mati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya Al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.
Dia akan duduk dan membelek Al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta al-Quran. Dia akan meraba-raba ayat-ayat Al-Quran itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi.  Tambah isteri simati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu ini.  Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini ya Allah.”
“Wahai Qalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu.  Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu.  Tapi aku sangat mengasihi mu.  Aku sangat mencintaimu.“
“Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapan Allah di akhirat nanti”.

Lelaki itu meminta untuk melihat Al-Quran kesayangan suaminya itu.  Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali.  Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.  Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya.  Hatinya telah bersatu dengan ruh al-Qur’an.  Dia sangat mengasihi kalimah-kalimah Allah itu dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Marilah kita menghidupkan al-Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, setiap masa dan luangkan masa setiap hari untuk membaca dan fahami isi-isinya.


"Bacalah Al-Quran, kelak ia akan datang di Hari Kiamat memberi syafaat kepada para pembacanya."
(HR. Muslim)

karmila :  Subhanallah! Demikianlah syafaat yang ada pada Al-Quran.  Bukan setakat memuliakan Al-Quran bahkan bila kita membacanya, bertadabbur dengan setiap ayatnya dan beramal dengannnya, nescaya Al-Quran menjadi pembela kepada kita ketika di alam kubur dan di akhirat kelak. 

Ahad, 23 Februari 2014

AJAIBNYA SEDEKAH


"Setiap dari kita sudah tentu pernah mengalami keadaan dihampiri oleh si peminta sedekah, pengutip derma hatta bertemu dengan kanak-kanak yang mengharapkan membeli barangannya sebagai sumbangan derma. Ada masanya memang benar lahir simpati terhadap golongan ini tetapi ada masa juga terdetik di hati kita, "Betul ke tipu ni!"
Saya juga pernah mengalami situasi yang sama. Pernah dihampiri oleh seorang lelaki (mulanya saya ingatkan dia nak tanya arah ke), rupa-rupa hajatnya nak minta wang atas alasan dia telah diberhentikan kerja dan sedang mencari kerja lain untuk menyara keluarga, siap tunjuk pada saya IC anak-anak dia. Macam-macam situasi yang saya pernah berdepan, ada yang minta duit sebab tak ada tambang nak balik rumah, ada yang minta sebab tak ada duit nak makan, ada pulak yang kata nak pergi repair kereta tapi duit tak berapa cukup. Saya turut juga bertemu dengan seorang pelarian Myanmar yang datang minta derma, siap tunjuk surat pengesahan dari UNHCR lagi. Yalah dah kita perempuan, dah tahu mereka datang nak minta derma terus saja bagi apa yang ada, yang penting suruh mereka cepat-cepat pergi, risau pulak kalau jadi perkara yang tak elok. Kemudian, counter balik dalam hati niat ikhlas sedekah pada mereka.
Itulah realiti kehidupan, walau apa pun situasi, lebih baik sebenarnya kita bersangka baik dan niatkan bersedekah ikhlas kerana Allah. Moga-moga Allah menerima sedekah kita itu sebagai ibadah di sisiNya. Bukankah tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah? Bab mereka menipu ke, ambil kesempatan ke, kita serahkan urusan mereka itu kepada Allah.
Di sini, saya ingin kongsikan sebuah kisah yang membuktikan tentang keajaiban sedekah. Moga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita untuk terus bersedekah."

KOLEKSI SAHIH BUKHARI 1 Hadis Sahih Bukhari Jilid 2.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya ada seorang laki-laki berkata: "Saya akan bersedekah. "Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang banyak memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri." Orang yang bersedekah itu berkata: "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah." Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan lacur. Orang banyak memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur." Orang itu berkata, "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah." Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang banyak memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga." Kata orang yang memberi sedekah, "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita lacur dan kepada orang kaya." Kemudian ia bermimpi. Ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

Diriwayatkan di dalam Shahih Bukhari ketika ada seorang hamba Allah yang berniat mengumpulkan hartanya demi bersedekah secara sembunyi–sembunyi lalu dia kumpulkan wangnya sampai berjumlah sekian ribu dinar dalam tempoh satu tahun. Selepas mencukupi, kemudian dia keluar pada malam hari dengan niat mahu bersedekah secara sembunyi-sembunyi. Dia menemui seorang wanita tidur di jalanan. "Wah ini tentu orang susah," bisik hatinya. Lalu diberikannya wang ribuan dinar tadi sambil menutup wajahnya lantas melarikan diri supaya penerima tidak mengenalinya.

Pada pagi hari keesokkannya berlaku gempar di kampung kerana ada pelacur diberi sedekah tanpa diketahui siapa yang memberinya wang itu. Orang yang sudah bersedekah pun berkata "Subhanallah!! aku sudah tersilap bersedekah kepada pelacur." Dia merintih kepada Tuhan, "Ya Rabb, setahun aku mengumpulkan wang demi memburu pahala sedekah yang sembunyi – sembunyi namun wangku diterima oleh seorang pelacur."

Tetapi dia tidak putus asa bahkan dikumpulkan lagi wangnya sampai cukup tempoh setahun yang jumlahnya juga sekian ribu dinar. "Sekarang aku tidak mahu tertipu, aku akan lebih berhati-hati," katanya. Dilihatnya ada seorang pemuda sedang duduk diam saja di satu tempat yang gelap. "Ini pasti orang susah," bisik hati kecilnya lalu diserahkan wangnya kepada pemuda itu kemudian segera melarikan diri.

Pada pagi keesokkannya gempar lagi di kampungnya dengan kisah pencuri yang sedang ingin mencuri mendapat wang sedekah dengan jumlah yang besar. Dia berdoa lagi, "Ya Rabb, dua tahun aku bekerja keras untuk memberi nafkah orang yang susah dengan sembunyi–sembunyi. Tahun pertama aku tersilap memberi kepada pelacur, tahun kedua aku tersilap pula memberi kepada pencuri."

Namun begitu niatnya masih belum berubah lalu dikumpulkan lagi wangnya sampai tempoh satu tahun. Dia berdoa kepada Tuhan, "Ya Rabb ini yang terakhir, sekiranya masih lagi sampai sedekahku ini bukan kepada yang mustahiq, selesai Ya Rabb aku tidak mampu lagi." Dia lihat ada seorang tua berjalan sendirian di tengah malam dengan tongkatnya tertatih–tatih. "Wah, ini tentunya orang yang paling berhak, malam – malam begini ada orang tua berjalan dengan tongkat pasti orang susah." Dilempar wang yang diniatkan untuk sedekah itu "ini untukmu" lalu dia pun pergi.

Pagi hari keesokkannya gempar lagi di kampung, "Apa yang berlaku?" Dia bertanya pada orang kampung. "Orang paling kaya dan paling kedekut dapat wang semalam disedekahkan orang secara sembunyi – sembunyi," jawab orang kampung. Dia kemudian berdoa “Ya Rabb, yang pertama wangku diterima pelacur, kemudian pencuri dan yang ketiga orang paling kaya dan paling kedekut di kampung ini. Ya Rabb apa erti dari perbuatanku?"

Sekian tahun kemudian, orang yang bersedekah tadi mendapat khabar berkenaan dua orang ulama besar adik-beradik yang punyai puluhan ribu murid dan dia termasuk antara orang yang kagum dengan ulama itu. Ini ulama adik-beradik dua–duanya orang yang sangat luar biasa, ilmunya luas, pengikutnya puluhan ribu. Dia berkata "Subhanallah!! siapakah ayah kepada ulama adik-beradik ini?". Selepas bertanya ke sana ke mari lalu dia mendapat berita bahawa ternyata dua orang ulama itu adalah anak kepada seorang pelacur. Tetapi dahulu, pada suatu malam malam ada seseorang yang memberi sedekah kepada pelacur itu secara sembunyi–sembunyi. Pelacur itu lantas menyesal maka dia bertaubat dari pelacurannya dan disekolahkan kedua anaknya dengan harta yang diterima itu. Allah jadikan dengan harta itu anak tadi menjadi orang baik, menjadi ulama besar dan pahalanya kembali pada orang yang bersedekah tadi. Airmata orang yang bersedekah itu segera mengalir, "Ternyata yang kuberikan 20 tahun yang lalu Allah menjadikannya berlipat ganda sampai muncul dua orang ulama soleh sampai puluhan ribu orang yang beribadah mengikuti ilmunya lalu pahalanya kembali padaku." Ini keikhlasan seseorang.

Tidak lama kemudian dia mendapat pula berita ada seorang wali wafat. Masya Allah, ratusan ribu yang menghantar jenazahnya. Siapa orang itu? Orang itu dulu pencuri, saat ia sedang mencuri ia berdoa kepada Allah "Ya Rabb, beri aku keluhuran kalau aku dapat rezeki malam ini aku taubat". Tanpa disangka ada yang melemparinya wang lantas dia bertaubat ia bersedekah, dia rajin ibadah dan dia tidak keluar dari tempat ibadahnya sampai Allah angkat dia menjadi orang yang soleh. Lantas dia (orang yang bersedekah yang terharu atas dua khabar itu) berdoa "Ya Rabb tinggal yang ketiga, bagaimana dengan orang tua yang paling kaya dan kedekut di kampung kami?"

Lalu suatu hari dia mendapat khabar bahawa orang tua itu sudah wafat tetapi dia sudah pindah ke tempat lain dan berwasiat mengirimkan seluruh hartanya untuk membangunkan Baitul Mal bagi para anak yatim. Sehingga sekarang itu hartanya masih makmur." Kenapa? Gara – gara dia malu kerana pada satu tengah malam katanya, dia yang kaya kedekut namun diberikan sedekah. Hatinya berbisik "orang bersedekah padaku, sementara aku tidak pernah memberi sedekah. Aku nafkahkan seluruh hartaku dan harta ini untuk Baitul Mal." Dan orang yang memberi sedekah itu terus mendapat saham dari kebaikan yang sudah dilakukannya.

Ternyata sedekah itu banyak keajaibannya. Sama-samalah kita berusaha menjadikan sedekah kita bernilai ibadah.

karmila : Andainya kita tahu, satu sedekah itu mampu mengenyangkan perut si miskin walau sebentar. Andainya kita tahu, satu sedekah itu mampu membantu pelajar yang kesempitan untuk melunaskan yuran dan perbelanjaan sekolahnya. Andainya kita tahu, satu sedekah itu mampu memanjangkan hayat seorang pesakit yang mengharapkan bantuan untuk kos pembedahan. Andai kita tahu, satu sedekah itu dapat membantu agama Allah dalam perjuangan Fisabilillah. Andai manusia yakin dan percaya, nescaya Allah akan lipatgandakan lagi ganjaran pahalanya, rezekinya, kesihatannya, umurnya dan dijauhkan musibah darinya. Janji Allah itu pasti, maka, akan tergolonglah dia di antara tujuh golongan yang dilindungi Allah di hari yang tidak ada lindungan selain lindunganNya : iaitu "Seseorang yang bersedekah dan disembunyikan, sehingga tangan kanannya tiada mengetahui apa yang dinafkahkan oleh tangan kirinya."

Sabtu, 4 Ogos 2012

SOLAT KITA : LALAI @ KHUSYUK


"Usolli fardhu zuhri arbaa rakaatain lillahitaala...Allahu Akbar"
Hish...kat mana letak resepi kek tu, tak apalah, rasa boleh ingat sikit-sikit.

"Allahu Akbar"
Emm..gula halus, serbuk koko memang ada lagi, lebih buat biskut hari tu.
Telur...nak berapa ye, rasanya 3 biji cukup.

"Allahu Akbar"
Haa..mentega dengan tepung kek tak ada, kena beli ni.

"Allahu Akbar"
Macam biasa gula dengan mentega mesin dulu.
Lepas tu masuk telur dulu baru tepung.

"Allahu Akbar"
La baru ingat kena guna air kotak coklat.

"Allahu Akbar"
Nak guna acuan bulat ke empat segi.

"Allahu Akbar"
Ok, dah gaul semua, bakar dalam oven.

"Assalamualaikum warahmatullah..."
"Assalamualaikum warahmatullah..."

"Astaghfirullahal azim...Ya Allah...lalainya aku. Siap sebiji kek dalam tengah solat.
Astaghfirullahal azim..."


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya. "

IMAM AL-GHAZALI memberi gambaran orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang diucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, atau bacaan yang lain, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap.

karmila : Moga kita terus bermujahadah melawan nafsu dan bisikan syaitan bagi menggapai kenikmatan khusyuk dalam solat.

Khamis, 9 Februari 2012

SALAM MAULIDUR RASUL 1433H



“Dari Abu Hurairah r.a beliau menuturkan bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wassallam bersabda, “Setiap Nabi alaihis salam memiliki doa yang mustajab, maka setiap nabi telah menggunakan doa tersebut. Dan aku menyimpannya sebagai syafa’at bagi ummatku, kelak di hari kiamat. Maka, syafa’at tersebut Insya Allah akan didapati oleh setiap orang dari umatku yang wafat dalam keadaan tidak menyekutukan Allah Ta’ala dengan suatu apapun.” (HR. Bukhari dan Muslim)



******************************************************



HARI KEBANGKITAN - YAUMUL MAHSYAR

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering.

Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy.
Mereka ialah:
• Pemimpin yang adil.
• Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
• Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
• Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
• Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
• Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
• Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.


Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT.

Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

'Arasy’ ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
• Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
• Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
• Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)


Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
bloggermuslim.com


Karmila : Moga-moga kita semua tergolong di dalam golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah, dimudahkan hisab, diberatkan timbangan & dapat merasai nikmat Syurga. Amin Ya Rabbal Alamin.

Jumaat, 9 Disember 2011

TAUBAT SEORANG HAMBA



“Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.” (Ibnu Kathir)


Renungilah 5 perkara ini jika ingin melakukan maksiat kepada Allah :
1. Jangan makan rezeki kurniaan Allah.
2. Jangan tinggal di bumi ciptaan Allah.
3. Cari tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh Allah.
4. Jika malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Tangguhkan dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.
5. Jika malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.

*****************************************

Secebis kisah perihal seorang hamba Allah yang hendak bertaubat lalu dijumpanya seorang ahli sufi yang terkenal ketika zaman itu, Sheikh Ibrahim bin Adham.

Dia berkata, “Wahai Abu Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Abu Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-Nya.”

Mendengar jawapan itu, dia terpaku seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”

“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”

“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”

“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”

“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”

“Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.” Hendaklah kau lari daripadanya.

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Abu Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil teresak-esak.

Setelah itu diceritakan, hamba Allah itu menjadi antara orang alim dan soleh ketika zaman Sheikh Ibrahim Adham.

Katakanlah (wahai muhammad):"Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun,lagi Maha Mengasihani." (Al-Zumar : Ayat 53)

Khamis, 29 September 2011

MENCARI CINTA ILAHI




Seorang ayah menyuruh 4 orang anaknya mengambil segelas air untuk dirinya.

Anak pertama : Membawa air dalam keadaan terpaksa;

Anak kedua : Membawa air kerana nakkan upah;

Anak ketiga: Membawa air kerana takutkan ayahnya;

Anak keempat: Membawa air kemudian menghidangkan dengan kain alas dan disusuli dengan kuih muih walaupun tidak diminta oleh ayahnya.

Kenapa anak ke-4 melakukan perkara yang tidak diminta oleh ayahnya? Kerana kasih sayang dan kecintaannya kepada ayahnya. Justeru bila ayahnya ingin memberikan hadiah siapakah yang paling mendapat perhatiannya? Siapakah yang mendapat hadiah yang lebih mahal di antara keempat-empat anaknya?

Jawapannya, sudah tentu anak ke-4 yang lebih disayanginya kerana kasih sayang dan kecintaan yang tidak berbelah bagi ditunjukkan olehnya. Sudah tentu anak ke-4 akan menerima hadiah yang paling termahal dan tercantik berbanding anak-anak yang lain.


MOTIVASI DIRI - BERIBADAH KERANA MENCINTAI ALLAH

Begitu juga hubungan kita dengan Allah. Jika kita melakukan kerana kecintaan kepadaNya maka Insyallah ganjaran akan menyusul walaupun bukan itu yang dipinta. Dengan melakukan amalan-amalan sunat walaupun tidak diwajibkan oleh Allah namun itulah yang memberikan markah bonus kepada kita sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita.

Ada 4 jenis ibadah yang dilakukan oleh manusia :-
1. Ibadah kerana terpaksa mematuhi perintah Allah;
2. Ibadah kerana mengharapkan ganjaran dari Allah;
3. Ibadah kerana takutkan Allah; dan
4. Ibadah kerana ‘mencintai Allah’.


Pertama, beribadah kerana terpaksa mematuhi perintah Allah. Contohnya, bila Allah perintahkan supaya hamba-hambanya berpuasa di bulan Ramadhan, maka semuanya berpuasa kerana terpaksa mematuhi perintah Allah. Jika tak dilakukan bermakna kita engkar maka balasannya siksaan di neraka. Maka ramai yang tergolong dalam golongan ini melakukan dengan berat hati. Melakukan kerana syariat menetapkan demikian. Walau bagaimanapun, mereka tetap mendapat pahala.

Kedua, golongan yang beribadah kerana mengharapkan balasan dan ganjaran dari Allah. Walaupun ganjaran yang ditawarkan oleh Allah bersifat “ghaibiyat” atau tidak dapat dilihat dengan mata kasar namun mereka tetap melakukan dengan perasaan ‘raja’ [penuh harap] bahawa mereka akan dapat menuai hasilnya di akhirat kelak. Sebahagian ulama mentafsirkan golongan ini sebagai golongan yang berurusniaga dengan Allah sama seperti peniaga yang berurusniaga dengan peniaga lain bagi mendapatkan keuntungan.

Ketiga, golongan yang beribadah kerana takutkan Allah. Sebahagian ulama berpandangan orang-orang yang mencapai tahap ini semakin menghampiri tahap ikhlas yakni mereka beribadah kerana takutkan azab Allah.

Keempat, golongan yang beribadah kerana mencintai Allah dengan sepenuh hati sama seperti seorang kekasih yang merindui kekasihnya. Mereka beribadah tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran dari Allah walaupun Allah telah menjanjikan balasan bagi orang-orang yang bertaqwa.

Hakikatnya memang sukar untuk mencapai tahap ke-4 kerana ianya berkaitan perkara-perkara ‘maknawi’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali melalui pandangan mata hati yang tajam. Perhatikan dan renungkan sedalam-dalamnya di mana tergolongnya diri kita? Jika berada dalam golongan pertama, berusahalah untuk naik ke tahap ke-2 dan begitulah seterusnya. Sebaliknya, jika anda sekarang ini sedang berada pada tahap ke-3 maka ketahuilah bahawa anda semakin menghampiriNya. Jadikan rasa takut kepada Allah itu sehingga ke tahap mencapai tahap ikhlas dalam diri dan akhirnya perasaan takut tadi akan bertukar menjadi perasaan cinta kepada Allah.

Peliknya, semakin takut pada Allah semakin hampir kita pada Nya, sebaliknya semakin takut kita pada manusia semakin jauh kita darinya. Inilah beza antara hubungan dengan manusia dengan hubungan dengan Allah.

Kemanisan iman kerana mencintai Allah adalah satu perasaan yang berkekalan sifatnya. Berbanding perasaan seronok kerana dunia ianya tidak bertahan lama. Kemanisan iman tidak dapat hendak digambarkan kecuali bagi mereka yang telah melaluinya. Inilah jalan-jalan para sahabat dan muqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Ikutilah jejak-jejak langkah mereka dalam menjalani kehidupan, mudah-mudahan satu hari nanti kita juga mampu menjadi seperti mereka, golongan yang mencintai Allah dan Rasulnya.

karmila : Ya Allah kurniakanlah untukku cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan diriku kepada cintaMu.

Selasa, 2 Ogos 2011

PUASA GITU-GITU VS PUASA BETUL-BETUL



Khairi : Salam Ramadhan Kareem...

Ashraf : Salam Ramadhan… Apa harapan kau untuk Ramadhan kali ini ?

Khairi : Harapan aku agar puasa kali ini, aku puasa betul-betul bukan puasa gitu-gitu..

Ashraf : Aik, ada puasa gitu-gitu ke, aku ingat Apek je yang gitu-gitu.. (sambil menunjukkan gaya tangan macam Apek)

Khairi : Ada..kau tau tak apa bezanya antara gitu-gitu dengan betul-betul puasa.

Ashraf : Idak la aku tau, sebab kau yang bagi istilah tu. Cer cite sikit.

Khairi : Puasa gitu-gitu maksudnya yang biasa kita buat - puasa siang hari, malamnya solat terawih, bertadarus, bersedeqah ..

Ashraf : Eh, biasanya begitu la kita buat sepanjang bulan ramadhan, ada tak betul ke..

Khairi : Aku tak kata salah, memang kebiasaan begitu. Tapi, puasa betul-betul ni maksudnya, amalan yang kita buat sepanjang ramadhan ni bukan sekadar kebiasaan tetapi natijahnya nanti dapat membentuk diri menjadi lebih bertaqwa kepada Allah. Itukan juga yang dinyatakan dalam ayat 183 surah Al-Baqarah.

Ashraf : Ya betul tu. Taqwa tu kan maksudnya mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.

Khairi : Taqwa datang dari kata asal waqa atau wiqayah. Ertinya, berhati-hati atau mencegah. Jadi makna mudahnya, orang bertaqwa ialah orang yang sangat berhati-hati.

Ashraf : Berhati-hati dengan hukum Allah la kan.

Khairi : Orang bertaqwa akan sentiasa berhati-hati dengan Syariatullah, hukum Allah yang halal, haram, sunat, makruh dan harus. Dan juga sentiasa berhati-hati dengan Sunnatullah, peraturan alam yang telah diatur oleh Allah.

Ashraf : So, bagaimana nak gapai taqwa dalam bulan puasa ni..

Khairi : Kita kena jadikan bulan Ramadhan sebagai madrasah latihan mengawal hawa nafsu untuk membentuk sifat taqwa sebagai persediaan mengharungi 11 bulan yang mendatang. Tetapi kita sekarang macam terbalik, 11 bulan sebelum ni kita pi bantai buat apa saja ikut nafsu kita, kemudian bila sampai Ramadhan kononnya kita jadi ’baik’ sekejap.

Ashraf : Haah la. Sepatutnya kalau dalam bulan Ramadhan kita memang disyariatkan berpuasa, bulan-bulan lain kita kena biasakan juga dengan puasa-puasa sunat. Kalau masa Ramadhan kita rajin berulang ke masjid untuk solat Isyak dan Terawih berjemaah, sepatutnya kena teruskan juga selepas bulan Ramadhan untuk solat berjemaah. Kalau kita rajin bertadarus dan boleh khatam Quran dalam bulan Ramadhan, kenapa tak diteruskan juga amalan membaca Al-Quran tu pada bulan-bulan yang lain. Kalau ketika berpuasa kena elakan berkata dusta, mengumpat dan mengadu domba, sudah tentulah di bulan lain pun begitu juga.

Khairi : Sebab kita tak anggap bulan Ramadhan ni sebagai bulan latihan untuk kita. Ingat nak raya saja. Sepatutnya semua ibadah yang kita lakukan di bulan mulia ini atas dasar rasa kehambaan kepada Allah SWT. Sewajarnya seorang hamba itu mematuhi perintah Penciptanya. Maka, sudah tentulah matlamat taqwa itu dapat dicapai. Pada taqwa itu terselit makna ketakutan, kerendahan diri dan kekerdilan kita sebagai hamba Allah SWT. Bila kita lewat solat, bila kita buat dosa, bila kita lakukan maksiat, bila kita berbohong, bila kita tidak menutup aurat, adakah kita ada rasa takut pada Allah?

Ashraf : Aku teringat kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang taqwa ni, Tuan Guru bagi perbandingan yang simple je. Katanya, ''Taqwa ni brek. Dengan taqwa, manusia tak berani untuk lakukan dosa kerana dihentikan keinginan itu oleh taqwa. Sebagaimana kereta yang laju, jika tak ada brek, pasti akan melanggar kenderaan lain. Begitu juga manusia yang bertaqwa, tak akan berani lakukan dosa..''

Khairi : Betul..betul..betul...

”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Ayat 183 - Surah Al-Baqarah)

”Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kami di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Ayat 52 - Surah An-Nur)

Saat Umar al-Khattab bertanya kepada Ubay bin Ka’ab apakah taqwa itu?
Dia menjawab; “Pernahkah kamu melalui jalan yang penuh duri?”
Umar menjawab; “Pernah!”
Ubay menyambung, “Lalu apa yang kamu lakukan?”
Umar menjawab; “Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati, waspada dan penuh keseriusan.”
Maka Ubay berkata; “Maka demikian pulalah TAQWA!”

Isnin, 16 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU




Dedikasi kepada semua guru-guruku yang pernah mendidik diri ini dan para pensyarahku yang tak lokek berkongsi ilmu.
Selamat Hari Guru kepada semua para pendidik.

SAJAK GURU O GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Isnin, 9 Mei 2011

KASIH IBU BAPA



TARBIYYAHLAH ANAKMU
Tulisan Asal : Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi

Kasih ibu terhadap anaknya tidak bermusim , berbeza kasih anak buat ibu hanya pada saat dan tika tertentu .

Barangkali lah [ pada hemat saya ] , dunia hari ini perlukan "hari ibu" untuk memaut ingatan dan kasih insan bergelar anak buat ibu mereka .

Dunia seperti insaf betapa hari ini ibu menjadi bahan antik yang disimpan atau diperosok ke rumah orang - orang tua dan sebahagiannya ditinggal sendirian membilang hari mati .

Kecil sizenya dan sedikit pula jumlahnya buat manusia bertaraf ibu yang mampu mengecap kebahagiaan disamping anak - anak hingga ke akhir hayat mereka .

Hanya anak - anak yang soleh/ah memiliki keupayaan menjaga dan membelai sang ibu biar usia memamah seri wajahnya sehingga sang ibu ini menghembuskan nafas akhirnya dengan tenang di pangkuan anak .

Namun anak yang sanggup bertahan dengan karenah ibu tua bukan mudah dicari . Saya membenarkan kata - kata entah dari siapa yang mengatakan : Ibu seorang boleh membelai dan membesarkan sepuluh orang anaknya namun anak yang sepuluh ini belum tentu dapat membelai dan menjaga ibunya yang seorang .

Ucapan yang saya maksudkan itu ialah " Wahai Ibu Bapa ! Tarbiyahlah anak - anakmu agar mereka menjadi insan yang soleh dan seterusnya turun ke medan lantas berjuang untuk menegakkan agama Allah swt . Saya kira , anak seperti inilah akan membuatkan ibubapa bangga dan bahagia ."

Firman Allah swt :

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya ( penyejuk mata hati ), dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.
( Surah al Furqan . Ayat : 74 )

Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa , bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Justeru itu , Nabi saw menegaskan :

ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ

Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah . Maka ibubapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi , Nasrani atau Majusi .
( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya . Mereka jugalah penyambung warisan keluarga dan ummah , malah Nabi saw. sangat berbangga dengan ramainya jumlah ummat Baginda di akhir zaman . Sabda Rasulullah saw.

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم

Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh melahirkan anak , maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummat.
( Riwayat Abi Daud dan an Nasa’I )

Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak – anak bukan suatu yang mudah , sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di zaman yang terlalu rosak persekitarannya.

Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi .

Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.

Terlebih penting ialah memiliki Aqidah yang benar dan Spiritual yang yang mantap agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat yang kian luas menular .

Pengajaran dari wasiat Lukmanul Hakim .

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman :

· Membina Aqidah kukuh agar tidak syirik .
. Asuhan agar mentaati Ibu bapa .
· Meyakini pembalasan Ilahi. ( syurga neraka & dosa pahala )
· Melaksanakan Ibadah asas seperti solat
· Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat .
. Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan .
· Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dsbnya.
· Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dsbnya.

Inilah silibus utama dalam Pendidikan Anak yang perlu kita laksanakan.


Antara lainnya sabda Rasululullah saw. :

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عليها وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ في الْمَضَاجِعِ

Perintah anak – anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah meningkat 7 tahun dan pukullah mereka ( jika mereka enggan ) apabila umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka ( lelaki dan perempuan )
( Hadis Sohih Riwayat Imam Ahmad , Abi Daud , al Hakim dan al Baihaqi )

PETUA ALIM ULAMA’ DALAM MENDIDIK ANAK .

ANAK NAKAL .

1. Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah saw.
2. Selawat al Fatih : 100 kali
اللَّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَ الْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ وَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَ الْهَادِيْ إِلىَ صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمَ وَ عَلَى آلِهِ وَ أَصْحَابِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَ مِقْدَارِهِ اْلعَظِيْمِ .
3. Surah Aali Imran . Ayat : 83
4. Ayat al Kursi . 170 kali
5. Surah at Taubah . Ayat 46 : 100 Kali .

Ayat – ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian .

ANAK DEGIL .

Baca ayat “ Salam Yassin ” : Ayat ke 58 dari surah Yassin .
Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di tengah malam jumaat sebanyak 313 kali . Sebelum membacanya , terlebih dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali di hadiahkan kepada Rasulullah saw , Alim Ulama’ , Para Syuhada’ , Ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya.

MELAHIRKAN ANAK YANG MENJAUHKAN DIRI DARI MAKSIAT.

Kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata , hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah . Semoga anak yang bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Semoga Allah memberkati kita semua .

Isnin, 5 Julai 2010

TIGA BULAN ISTIMEWA








Ertinya: Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan dalam bulan Syaaban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah, Tuhan 7 petala langit dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang agung. Dan tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Isnin, 21 Jun 2010

SENI MENJAGA HATI IBU BAPA



15 perkara yang anak boleh lakukan untuk menjaga hati insan yang sangat berjasa.

1. Ibu bapa akan sejuk hati jika cakap mereka ditaati dan diikut. Contoh mudah, kalau anak pandu kereta dan ayahnya duduk di sebelah memberi tunjuk jalan, ayah akan rasa senang jika anak ikut cakapnya walaupun si anak mungkin lebih tahu jalan dari ayahnya. Kalau anak bantah atau berkeras tidak mahu ikut, ayah mungkin sakit hati.

2. Semua orang suka dibahasakan dengan baik. Kalau anak bercakap lunak, tentu ibu bapa senang. Berbanding kalau anak tinggikan suara atau bercakap kasar, ibu bapa mudah tersinggung. Sebab itu Allah sebut dalam al-Quran, hendaklah bercakap kepada ibu bapa “…dengan perkataan yang mulia”; (Al-Israk: 23).

3. Ibu bapa mana yang tidak suka dan tidak rasa bahagia jika anak sedia berkhidmat dan berbakti. Lebih-lebih lagi bila ibu bapa sudah lanjut usia dan perlu lebih perhatian dan jagaan. Berbakti kepada ibu bapa perlu pada sifat ringan tulang. Dengan ringan tulang kepada mereka, kita dapat jaga hati mereka dan dalam masa yang sama, beroleh keberkatan dalam hidup. “Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah habuannya dan Allah akan memanjangkan (pula) umurnya”; (Hadis riwayat Abu Ya’la, at-Thabrani, as-Syaibani dan al-Hakim)

4. Raut wajah anak akan beri kesan kepada hati orang tua. Oleh itu cara mudah untuk gembirakan hati mereka ialah selalu senyum, bermanis muka dan pandang mereka dengan penuh kasih sayang. Memandang ibu bapa (dengan kasih sayang), menurut Nabi s.a.w., adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud)

5. Hati ibu bapa terhibur jika anak tahu hormati mereka dan hormati pandangan mereka. Kalaupun ada perkara yang anak tidak setuju, dia masih tunjuk rasa hormat, tidak membangkang. Nabi s.a.w. banyak memberi panduan cara-cara hormat pada ibu bapa. Antaranya, baginda melarang seorang anak berjalan mendahului ibu bapanya atau duduk sebelum ibu bapanya duduk. Baginda juga tekankan perlunya anak membiasakan budaya minta izin pada ibu bapa, seperti minta izin untuk masuk bilik mereka.

6. Pemberian dari ibu bapa jika dihargai, membuat hati mereka senang. Mungkin mereka beri sesuatu pada anak kita (cucunya) lalu kita beritahu anak itu supaya hargai pemberian nenek atau datuknya. Menghargai pemberiannya sama dengan menghargai dirinya.

7. Rasulullah s.a.w. sewaktu dikunjungi ibu susuannya Halimah as-Saadiah, telah membentangkan kain ridaknya untuk diduduki oleh si ibu. Betapa bahagianya si ibu tua diperlakukan begitu. Layanan “VIP” ini tentulah lebih layak diberi pada ibu bapa kandung, lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usia. Kalau dia rasa kurang diraikan atau kurang diberi perhatian, dia mudah tersinggung. Ini biasa berlaku bila ibu bapa tengok anaknya melebihkan isteri atau suaminya berbanding ibu bapa sendiri. Apalagi kalau ibu bapa tinggal serumah dengan anak dan menantu.

8. Meraikan ibu bapa juga merangkumi meraikan kenalan atau tetamu mereka. (Malah dalam Islam, selepas ibu bapa tiada pun, seorang anak masih dituntut meraikan kenalan baik arwah ibu bapanya.)

9. Alangkah bahagianya jika ada orang yang peka dengan apa yang kita suka atau tak suka. Lebih-lebih lagi jika kepekaan itu datang dari seorang anak. Anak tahu apa kesukaan ibu bapanya, lalu itulah yang dia buat. Dia tidak buat sesuatu yang dia tahu ibu bapanya tak suka. Dia juga tahu apa makanan kesukaan ibu bapanya, tempat yang ibu bapanya suka pergi dan sebagainya.

10. Jauh di sudut hati, ibu bapa akan rasa bangga jika selalu diminta pandangan dan nasihat. Atau diminta restu dan doa dalam apa-apa keputusan terutama melibatkan soal kahwin, kerjaya, sambung belajar dan lain-lain persoalan besar dalam hidup anak. Tetapi jika anak minta restu, misalnya untuk kahwin, dengan cara mendesak, ini boleh sakiti hati mereka.

11. Kebanyakan ibu bapa ada simpan hasrat terhadap anak - mahu anak berjaya dalam hidup, jadi anak soleh, tahu kenang jasa. Memenuhi hasrat mereka adalah salah satu cara untuk gembirakan mereka. Jika anak tak ambil peduli hasrat dan harapan ibu bapa, hati mereka akan kecewa dan terguris.

12. Untuk membalas sepenuhnya jasa ibu bapa memang tak mungkin, tapi jika anak tahu kenang jasa, ibu bapa akan rasa bahagia. Misalnya jika sudah bekerja, disumbangkan sekian banyak daripada duit gaji kepada ibu bapa. Bila sudah berkeluarga sendiri, sumbangan ini tak pernah putus walaupun mungkin berkurang sedikit. Bila ada duit lebih pula, tak lupa dikirim pada ibu bapa. Ibu bapa sakit, cepat-cepat dia balik jenguk dan usahakan rawatan yang patut. Kalau perlu, dijaganya di hospital atau diminta isterinya tolong jagakan. Dibawanya ibu bapa pergi haji atau umrah jika mampu.

13. Jika sudah tidak tinggal bersama ibu bapa, seorang anak perlu selalu berhubung dan jenguk mereka. Tak cukup hanya kirim duit tiap-tiap bulan atau kirim kad raya “pengganti diri” terutama jika mereka sudah lanjut usia, selalu sakit-sakit atau nyanyuk. Adakalanya bagi si ibu tua, cukuplah kalau dapat rasai belaian tangan anak yang pernah dikandungnya. Atau kalau anak mahu duduk dengar luahan hati, omelan atau ceritanya. Banyak kes hati ibu bapa yang retak sebab tidak begitu diindahkan anak, sakit peningnya tak diambil peduli atau anak sudah jemu dengar omelannya.

14. Anak boleh panjangkan jariah untuk ibu bapa; misalnya bersedekah dengan niatkan pahalanya untuk mereka. Ini tidak semestinya dibuat sewaktu ibu bapa sudah meninggal. ketika mereka masih ada, mereka tentunya akan terhibur jika tahu yang si anak telah buatkan jariah untuk mereka.

15. Ibu bapa juga mengharap ada anak yang sudi doakan mereka. Kalau memang ada, mereka tentu rasa bahagia dan bangga. Tapi kalau mereka rasa si anak tak pernah doakan mereka, mereka akan pendam rasa. Cukuplah kalau seorang anak itu merasakan dia banyak “berhutang” dengan ibu bapanya untuk membuatkan dia rasa sangat terhutang budi dan rasa patut membalas jasa serta menjaga hati mereka dengan apa jua cara yang dikira wajar. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Anak itu belum dapat lagi membalas (jasa) orang tuanya sehinggalah dia mendapatinya sebagai hamba, lalu dibelinya dan dimerdekakannya.” (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Koleksi Artikel Majalah ANIS 2008


karmila :
Kasihnya Ibu Membawa ke Syurga...
Kasihnya Ayah Sepanjang Masa...
Kasihnya Anak Membawa Bahagia...
KasihMu Tuhan Kekal Selamanya...

Rabu, 12 Mei 2010

KISAH LUKMAN AL-HAKIM DENGAN TELATAH MANUSIA


Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari, Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikuti dari belakang.
Melihat tingkah laku Luqman itu, orang pun berkata, ”Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”

Selepas mendengar kata-kata orang ramai, maka Luqman pun turun dari himarnya dan diletakkan anaknya pula di atas himar itu. Melihatkan yang demikian itu, maka orang ramai di pasar itu berkata pula, ”Lihat, orang tuanya berjalan kaki, sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, ”Lihat itu dua orang menaiki himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu.”

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, ”Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”

Dalam perjalanan kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, ”Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.”

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, ”Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdaya orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya.”

karmila : Bukan senang nak puaskan hati semua orang. Almaklum, hati dan pemikiran bukan semua sama. Yang pasti, kita tahu kita telah melakukan sesuatu dengan sehabis baik dan yang penting sekali perbuatan kita itu adalah tak bercanggah dengan undang-undang Allah mahupun manusia. Tapi kan...ada masanya kita juga perlu mendengar cakap-cakap orang. Mungkin ada perbuatan kita yang menyakitkan hati dan mungkin juga kita syok sendiri, kita ingat kitalah yang terbaik...

Selasa, 12 Januari 2010

RAHSIA KECANTIKAN WAJAH



Al-Ahnaf bin Kias adalah seorang ulamak yang terkenal semasa hidupnya. Kediamannya sering dikunjungi oleh murid-murid serta sahabat-sahabatnya yang datang untuk mendapatkan ilmu dan pengajaran daripadanya.
Pada suatu hari, seorang pemuda telah datang menziarahinya. Kedatangan pemuda itu menarik perhatian ulamak tersebut kerana dia mendapati pemuda tersebut sangat tampan dan kacak lalu diapun bertanya, "Wahai orang muda, adakah engkau menghias wajahmu dengan sesuatu?" "Benar tuan, saya memang ada menghias wajah saya dengan sesuatu," ujarnya dengan penuh sopan dan ringkas. Pemuda tersebut seraya menyambung, "Kalau saya bercakap tidak bohong, kalau ada orang sedang bercakap saya dengar, kalau saya berjanji saya tepati dan kalau diberi amanah saya tidak khianati."
Berkatalah Al-Ahnaf, "Benar seperti apa yang kamu kata wahai orang muda, sesungguhnya kau telah hiasi dirimu dengan akhlak yang tinggi dan terpuji."

karmila : Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.