Memaparkan catatan dengan label DOA SENJATA MUKMIN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DOA SENJATA MUKMIN. Papar semua catatan

Selasa, 20 Oktober 2020

DOA ABU UMAMAH

 


Hadis Abu Said al-Khudri RA. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”


Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”    Riwayat Abu Daud (4/353)


DOA ABU UMAMAH ini bukan hanya untuk masalah hutang dan penindasan manusia. Tetapi juga sebagai DOA PELINDUNG PENYAKIT HATI dan JIWA : 

Resah Gelisah (anxiety) - perasaan resah dengan sesuatu yang menimpa atau kebimbangan tentang sesuatu yang belum berlaku 

Sedih (depressed) - meratapi kesedihan, kekecewaan, kemurungan 

Lemah (helpless) - lemah fizikal, lemah pemikiran, lemah jiwa, rasa tidak berdaya 

Malas (laziness) - malas berfikir, malas berusaha, malas bekerja, malas belajar 

Pengecut (coward / lacks courage) - penakut, kurang keberanian, kurang keyakinan

Bakhil (stingy) - kedekut dari sudut harta & ilmu, menganggap nikmat yg dirasai atas usaha sendiri, tidak berasa ada hak orang lain dalam hartanya (tidak mahu bersedekah & berzakat)

karmila : Jom beramal dengan doa dari hadis yang masyhur ini. Moga Allah kurniakan ketenangan jiwa dan dipermudahkan segala urusan hidup kita.


Isnin, 31 Mac 2014

MOHON PERLINDUNGAN ALLAH SWT DARI FITNAH DAJJAL


Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dari surah Al-Kahfi di pelihara dan di selamatkannya dari Fitnah Dajjal." (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Pada hadis yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda R.A bahwa Nabi SAW berkata : "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal."

Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah R.A Dan pada lafaz Nasai menyatakan : "Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana-mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal."

Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam hari Jumaat sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh Imam Nawawi).


Rabu, 5 Mac 2014

DOA UNTUK ANAK SOLEH DAN SOLEHAH

DOA UNTUK ANAK-ANAK MENJADI SOLEH DAN SOLEHAH



اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

(Allahumma faqqihhu fiddin wa a'llimhuttakwil)


MAKSUD

"Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran)."

[Ahmad bin Hanbal, al-Hakim, al-Thabarani (Mu’jam al-Kabir, al-Ausath & Saghier), Ibn Hibban dan lain-lain.]

Atau menurut Dr. Ustaz Zahazan, boleh juga dibaca "Allahumma faqqih hu fid deen, wa alimuhul hikmah (ilmu pengetahuan)"

Bacakan doa ini kepada anak-anak, di ubun kepala, saat anak-anak sedang tidur, atau doakan anak-anak pada setiap kali lepas solat.


KETERANGAN

Doa ini dibaca oleh Nabi Muhammad SAW untuk Abdullah Ibnu Abbas atau dikenali sebagai Ibnu Abbas.
Abdullah bin Abbas (عبد الله ابن عباس‎ (619 - Thaif, 687/68H)), adalah sepupu kepada Nabi Muhammad SAW, tokoh yang paling ‘alim tentang al-Quran dan paling faqih dengan tafsirannya dan beliau menghafaz 1,660 hadis yang ditsabitkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dalam kitab shohih mereka. Beliau ditahnikkan oleh Nabi SAW dan membesar di bawah asuhan Baginda. Ke mana sahaja pemergian Nabi SAW, selalunya Abdullah bin Abbas akan turut serta. Ketika Baginda SAW, hendak berwuduk, beliau menyediakan airnya, ketika Baginda SAW menunaikan solat, beliau berdiri solat di belakangnya !

Ibnu Abas menjadi seorang ahli Hadis, ahli Tafsir, ahli Fikah yang tersohor di zamannya. Sehingga beliau mendapat tempat istimewa disisi Khalifah Ar-Rasyidin dalam membantu kepimpinan berkaitan urusan pentadbiran dan agama. Beliau dikenali sebagai orang yang paling mengikuti dan mentaati Sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Apabila matinya anak Adam, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Setiap ibu bapa wajib mendidik anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Anak-anak adalah amanah Allaw SWT kepada kita. Sudah pasti kita akan di tanya kelak bagaimana kita mendidik mereka. Jika tersilap didikan anak-anak mungkin boleh mengheret kita masuk ke Neraka. Justeru itu didiklah anak dengan sebaiknya, pentingkanlah agama daripada dunia semata.

“Ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu) dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya pahala yang besar”
(Surah al-Anfal, ayat 27-28)

Apa makna anak yang soleh?

Anak yang soleh bermaksud anak yang 'baik'. Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa, tetapi juga anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya Allah anak itu akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”.
(al-Anfal: 24)


Cara -cara menjadikan anak soleh dan solehah

1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah.

2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain.

3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita.

4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman). Antara perkara yang dapat kita lakukan untuk tujuan tersebut ialah;

a) Selalu membaca Al-Quran di rumah.

b) Membiasakan solat-solat sunat di rumah

c) Hidupkan budaya memberi salam.

d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau.

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita.

7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu.

8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.

9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh.

10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita.


karmila : Dengan menjadikan doa sunnah sebagai amalan, di samping memberikan ilmu & tarbiyah Islam yang kukuh, moga-moga anak-anak kita akan dapat memahami Islam secara syumul dan menjadikan Islam sebagai 'the way of life'. Semoga ramai generasi anak-anak kita mewarisi kebijaksanaan dan ilmu para ulamak dan bergandingan dengan para umarak dalam mentadbir kehidupan ini.

Jumaat, 11 November 2011

PENGHULU ISTIGHFAR



PENGHULU ISTIGHFAR



Allahumma anta robbi, laa ilaaha illa anta, kholaqtani wa ana ‘abduka, wa ana ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu, Audzubika min syarri maa shona’tu, Abu ulaka bi ni’matika ‘alaiyya wa abu ubizambi, faghfirlii zunubi fainnahu laa yaghfiru dzunuuba illa anta.

MAKSUD

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Aku adalah hamba-Mu, dan aku sentiasa berjanji setia mentaati-Mu sekuat tenagaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan apa yang kulakukan. Aku mengakui segala nikmat yang Engkau anugerahkan kepadaku, aku juga sentiasa mengakui dosa-dosa yang kulakukan. Oleh itu, ampunilah aku, kerana tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali hanya Engkau."

KETERANGAN

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Syaddad bin Aus, Nabi mengajar sepotong doa (doa di atas). Sesiapa yang membacanya dengan keimanan pada waktu pagi, lalu dia mati pada petangnya, maka dia akan menjadi ahli syurga. Demikian pula bagi yang membacanya dengan keimanan pada waktu petang, lalu meninggal dunia selepas itu maka jadilah dia daripada kalangan ahli syurga. (Riwayat al-Bukhari no. 6306, 6323)

Hakikat istighfar adalah menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk memohon ampun atas segala dosa.

Firman Allah dalam surah Al Mu'min ayat 55 :
"Dan pohonlah ampun bagi dosamu serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang".

Hadis Riwayat Al-Imam Abi Daud :
"Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya".

Sememangnya istighfar itu penting dalam kehidupan, maka tidak sewajarnya ia diabaikan apatah lagi dilupakan. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri menjadikan istighfar sebagai amalan harian. Walaupun Rasulullah SAW ma’asum (bebas daripada dosa), namun Baginda tetap beristighfar setiap hari sebanyak seratus kali agar dipelihara daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa, betapa pula kita yang hanya sekadar manusia biasa.

karmila : Marilah kita menjadikan istighfar sebagai doa dan zikir sepanjang hari. Mudah-mudahan Allah SWT menerima taubat dan istighfar kita. Amin Ya Rabbal'alamin.

Isnin, 25 April 2011

DOA MOHON TERHINDAR DARI SEBARANG KEMUDARATAN



DOA MOHON TERHINDAR DARI SEBARANG KEMUDARATAN


(Sila klik untuk melihat lebih jelas)

Bismillahillazi laayadhurru ma’asmihi syaiunfil ardhi walafissamaa iwahuwassamiul’alim

MAKSUD

"Dengan nama Allah, yang dengan namaNya akan terhalanglah, segala sesuatu di bumi dan di langit, untuk memberikan mudarat, dan Ia Maha Mendengar dan Mengetahui."

KETERANGAN


(Sila klik untuk melihat lebih jelas)

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan di sepanjang hari tersebut.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Selain itu, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya.

Keberuntungan beramal dengan doa ini :

Terhindar Daripada Bahaya

Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telefon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada di hadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ke tubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.

Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, menakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Doa ini sangat bermanfat untuk kita semua dan yakinlah semua kebaikan dan keburukan datang dari Allah dan dengan izinNyalah juga yang dapat mengangkat segala musibah daripada menimpa kita. AMIIN...

Selasa, 4 Januari 2011

DOA MOHON KESELAMATAN



Doa Mohon Keselamatan Terhadap Diri, Anak-Anak, Keluarga Dan Rumahtangga Daripada Kejahatan Manusia, Binatang Dan Bala Bencana


Allaahumma anta rabbii, laa ilaaha illaa anta, ‘alaika tawakkaltu wa anta robbul ‘arsyil ‘aziim. Maa syaa allaahu kaa na wamaa lam yasya’ lam yakun walaa haula walaa quwwata illaa billaa hil ‘aliyyil ‘aziim. A’lamu an nallaa ha ‘alaa kulli syain qadiir, wa an nallaa ha qad ahaa tho bikulli syain ‘ilmaa. Allaahumma innii a’uudzu bika min syarri nafsii wa min syarri kulli daabbatin anta aakhidzun binaa shiyatihaa inna robbii ‘alaa shirothim mustaqiim.

MAKSUD

“Wahai Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan bagiku kecuali hanya Engkau. PadaMu aku bertawakkal, dan Engkau adalah Tuhan dari ‘arsy yang besar. Apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti pula tidak akan terjadi, tiadalah daya upaya dan tiada pula kekuatan kecuali hanya dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Aku yakin, bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawasanya Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmunya. Wahai Allah, aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan diriku dari kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata di bumi ini, Engkaulah yang mengendalikannya. Bahawasanya Tuhanku sentiasa berada di jalan yang lurus."

KETERANGAN

Talha r.a. meriwayatkan: "Seorang telah datang kepada Abu Darda’ r.a. dan ,emberitahu bahawa rumah beliau terbakar. Abu Darda’ r.a. menjawab: "Tidak, rumah saya tidak terbakar." Kemudian seorang lagi datang dan memberitahu bahawa rumahnya terbakar. Kemudian, ada seorang lagi datang dan memberitahu perkara yang sama dan Abu Darda’ r.a. memberi jawapan yang sama.

Pada kali yang keempat seorang datang dan memberitahu Abu Darda’ r.a., "Wahai Abu Darda’ r.a.! Api telah naik tinggi tetapi apabila sampai kepada rumah tuan, api telah padam."

Abu Darda’ r.a. menjawab: "Saya yakin bahawa Allah Subhanahuwa Ta'ala tidak akan membakar rumah saya. Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wasallam telah mengajar saya satu doa yang mana jika dibaca selepas subuh si pembaca akan terselamat dari semua bala dan musibah hingga petang. (Saya telah membaca kalimah-kalimah ini selepas subuh). Oleh itu saya yakin rumah saya tidak akan terbakar."

Abu Darda’ r.a. telah menjelaskan bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang mengamalkan doa ini dibacakan pada waktu pagi dan petang, dia tidak akan melihat sebarang perkara yang tidak disenanginya menimpa diri, anak-anak, pasangan dan rumahnya.”

Doa ini sangat bermanfat untuk kita semua dan yakinlah semua kebaikan dan keburukan datang dari Allah dan dengan izinNyalah juga yang dapat mengangkat segala musibah daripada menimpa kita. AMIIN...