Memaparkan catatan dengan label IBRAH DARI SIRAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IBRAH DARI SIRAH. Papar semua catatan

Khamis, 8 Oktober 2020

KISAH SAIDINA AMRU AL-AS : PERANG ZATUSSALASI





Cerita minggu lepas.  Allah beri kesempatan masa untuk sama-sama berusrah dengan sahabat yang hebat-hebat belaka.  Naqibah kak Noraishah Abd Rahim, Ustazah Rozaidah Mohd Radzi, Ustazah Norsal Rahila, kak Rahayu Mat Nayan, Adila Kamal dan  Amira Husna.  Moga Allah merahmati kalian semua. 

Antara pengisian usrah adalah perbentangan dari Ustazah Rozaidah Mohd Radzi berkisar tajuk MENTAATI ARAHAN PIMPINAN dengan berkongsi sirah dari kisah SAIDINA AMRU AL-AS.  Moga ada pengajaran yang kita dapat kutip sebagai bekalan perjuangan.  Insya Allah. 


KISAH SAIDINA AMRU AL-AS 

PERANG ZATUSSALASI 

Rasulullah SAW melantik Amru Al-As sebagai ketua angkatan tentera Islam ke Zatussalasi (Zat Al-Salasil) kerana nenek sebelah bapanya Al-As dari kabilah yang berada di situ. Maka, sudah tentu Amru sangat mahir dan tahu akan selok belok kawasan tersebut. Amru Al-As yang baru 5 bulan memeluk Islam dihantar bersama pasukan 300 orang tentera untuk memerangi qabilah Arab yang bersekongkol dengan pihak Rom menentang tentera muslimin dalam perang Mu'tah. Amru membawa tentera bergerak pada waktu malam dan bersembunyi pada waktu siang. Apabila sampai dekat dengan Khudhaah, mereka mendapat berita bahawa Khudhaah membuat persiapan yang sangat besar. Dengan itu, dia menghantar utusan kepada Nabi Muhammad memohon bantuan bagi menghadapi kekuatan Khudhaah. Baginda mengutuskan 200 orang tentera yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bagi membantu Amru. Dan di kalangan tentera tersebut adalah sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Nabi Muhammad berpesan kepada Abu Ubaidah supaya jangan menyalahi pandangan Amru. Pasukan bantuan ini tiba sebelum Amru menyerang Khudhaah. Apabila masuk waktu solat, Abu Ubaidah mahu maju ke depan mengimami solat selaku ketua pasukan.

Kata Amru, "Wahai Abu Ubaidah, kamu sebagai pasukan bantuan kepada aku, akulah yang akan mengimami pasukan tentera."  Abu Ubaidah menghormati pandangan Amru dan menarik diri dari menjadi imam. 

1. Melarang menyalakan unggun api 

Operasi ini berlaku di musim sejuk, dalam keadaan cuaca yang sangat-sangat sejuk sehingga memerlukan api untuk memanaskan badan. Tiba-tiba, Amru mengeluarkan arahan melarang tentera Islam menyalakan api. Bahkan sesiapa yang melanggar arahan akan dihukum bakar dengan api yang dinyalakan. Kata-kata Amru Al-As ini membangkitkan kemarahan Umar Al-Khattab. Lantas Abu Bakar segera menenangkannya seraya berkata, "Wahai Umar, sesungguhnya Rasulullah telah memerintahkan kita supaya mentaati dan tidak mengingkari. Rasulullah melantiknya kerana kebolehan dan kebijaksanaan yang ada padanya.” 

2. Bertayamum dan mengimami solat Subuh 

Pada keesokkan paginya, Amru bertayamum, semasa mahu bersolat subuh. Umar ternampak lalu bertanya, "Wahai Amru, kenapa kamu bertayamum?"
Kata Amru, "Aku bermimpi dan berhadas besar."

Kata Umar lagi, "Air ada, wahai Amru, kenapa kamu tayamum."

Kata Amru mempertahankan pandangannya, "Cuaca terlalu sejuk. Tidak mungkin aku mandi dengan air."

Amru mengimamkan solat subuh pasukan tenteranya hanya dengan bertayamum selepas dia berjunub. Para sahabat semakin tertekan dengan sikap Amru, tetapi kerana mentaati pemimpin yang dilantik oleh Nabi Muhammad, mereka bersangka baik dengan Amru.

Umar datang mengadu kepada Abu Bakar berkenaan keputusan-keputusan Amru yang tidak dipersetujui.

Kata Abu Bakar, "Wahai Umar, kalaulah Amru bukan lebih baik daripada kamu dalam menjalankan misi ini, nescaya Muhammad tidak melantik dia memimpin kamu."

3. Tegahan mengejar tentera musuh 

Selepas solat subuh, mereka menyerang Khudhaah. Serangan yang mengejutkan dan kuat. Khudhaah tidak menyangka langsung. Perisik-perisik mereka tidak berjaya mengesan pergerakan tentera Islam. Semua tentera musuh lari berundur meninggalkan medan perang dan harta mereka. Tentera Islam mula ingin mengejar dan menawan tentera musuh. Pada masa itu, Amru mengeluarkan satu lagi arahan yang mengejutkan semua orang. Dia memerintahkan tentera Islam membiarkan tentera musuh lari. Tentera Islam diperintahkan berundur semula, mengambil harta rampasan dan pulang ke Madinah. 

Jawapan Amru Al-As kepada Rasulullah SAW 

Setibanya di Madinah, anggota tentera Islam melaporkan perkara-perkara yang dilakukan oleh Amru kepada Rasulullah SAW. Baginda memanggil Amru dan meminta penjelasan dari beliau : 

Rasulullah SAW bertanya kepadanya,"Wahai Amru, kenapa kamu biarkan tentera kesejukan dan kamu melarang mereka menyalakan api?" 

Jawab Amru, "Wahai Muhammad! Bilangan kami sedikit sedangkan bilangan tentera musuh beribu-ribu. Kami berada di kawasan musuh, jikalau api dinyalakan, nescaya musuh menyedari ketibaan tentera Islam. Musuh tentu dapat melihat dan mengetahui jumlah anggota tentera Islam dan pasti mereka akan membunuh kami semua.” 

"Kamu adalah benar. Kenapa kamu mengimami solat hanya dengan tayamum selepas kamu berjunub sedangkan ada air?" Rasulullah bertanya lagi. "Wahai pesuruh Allah! Kalau aku mandi dengan air, aku akan binasa kerana cuaca terlalu sejuk. Allah melarang daripada membiarkan diri binasa." 

Lantas, Amru Al-As membacakan potongan ayat dari Surah An-Nisa' ayat 29 : 

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا 

(Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang terhadap kamu) 

Rasulullah SAW ketawa mendengar jawapan Amru Al-Asr dan kemudian senyap (tanda mengiyakan tindakan Amru Al-As). 

“Kenapa kamu melarang tentera Islam mengejar dan menawan pihak musuh yang berundur?"   

"Tentera Islam telah menang dan dapat mengumpulkan ghanimah, ini sudah dapat menggerunkan musuh. Aku khuatir jika mengejar mereka, ia merupakan suatu penipuan untuk memerangkap tentera Islam." 

"Kamu benar." Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan semua keputusan Amru. 


Karmila : Mari kita hayati ibrah (pengajaran) yang sangat berguna buat kita semua daripada sirah ini : 

1. Wala’ (kesetiaan) dan taat (kepatuhan) kepada arahan pimpinan selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

2. Faktor usia yang 'senior' bukan satu-satunya kriteria yang dilihat dalam memilih kepimpinan yang baik. 

3. Faktor usia yang ‘junior’ atau ‘muda’ bukan menjadi penghalang untuk dilantik sebagai pimpinan selagi mana ia menepati kriteria sebagai pemimpin. 

4. Para sahabat ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan sahabat yang lain, namun mereka tidaklah membicarakan secara terbuka ketidaksetujuan tersebut sehingga menjadi pemecah belah di kalangan mereka. Yang penting, mereka berlapang dada dan ukhuwah terjalin seperti biasa. 

5. Para sahabat yang menyertai peperangan tersebut tidak membuka mulut menjaja cerita tetapi bersikap Tabayyun iaitu mendapatkan terlebih dahulu penjelasan dan memahami rasional sesuatu perkara. 

6. Keikhlasan dalam menyertai perjuangan menegakkan Islam kerana mengharap Redha Allah semata, bukan kerana faktor duniawi. 

7. Kebijaksanaan dalam beroganisasi, menjaga disiplin dan mengatur strategi mengikut keperluan. 

8. Tetap istiqamah dengan perjuangan walaupun menghadapi pelbagai cabaran mehnah dan tribulasi. 

 Wallahu’alam bissawab. 



#usrahdmpktambun   #muslimatAKIFI   #ukhuwahfillahtilljannah

Selasa, 29 November 2016

KISAH KA'AB BIN MALIK : 'ABSENT' DARI PERANG TABUK



Di saat kesibukan melanda, tidak sempat untuk membuka buku-buku sirah, apa yang dapat dilakukan ialah dengan mengambil jalan mudah, bertanya kepada Mr.Google.. untuk mencari bahan tugasan usrah berkenaan tajuk Perang Tabuk. Dalam banyak-banyak search, hati tertarik dan tersentuh dengan satu tulisan yang agak berbeza cara penceritaannya, seolah-olah kita hidup di dalam kisahnya.

Semoga kita mendapat iktibar dari kisah ini…


Kisah Ka’ab bin Malik dalam peristiwa Perang Tabuk

“Aku sama sekali tidak pernah gagal mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW, kecuali dalam Perang Tabuk. Sebab aku tidak ikut serta dalam Perang Tabuk itu adalah kerana kelalaian diriku terhadap perhiasan dunia.."

Ketika itu keadaan ekonomiku jauh lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Demi Allah, aku tidak pernah memiliki barang dagangan lebih dari dua muatan unta, akan tetapi pada waktu peperangan itu aku memilikinya.

Sungguh, tidak pernah Rasulullah SAW merencanakan suatu peperangan melainkan beliau merahsiakan hal itu, kecuali pada Perang Tabuk ini.

Peperangan ini, Rasulullah SAW lakukan dalam kondisi panas terik matahari gurun yang sangat menyengat, menempuh perjalanan nan teramat jauh, serta menghadapi lawan yang benar-benar besar dan gagah.

Jadi, rencananya jelas sekali bagi kaum muslimin untuk mempersiapkan diri masing-masing menuju suatu perjalanan dan peperangan yang telah diketahui. Rasulullah SAW sedang bersedia mempersiapkan pasukan yang akan berangkat.

Aku pun mempersiapkan diri untuk ikut serta, tiba-tiba timbul fikiran ingin membatalkannya, lalu aku berkata dalam hati,
“Aku boleh melakukannya kalau aku mahu!”  Akhirnya, aku terbawa oleh fikiranku yang ragu-ragu, hingga aku melihat para pasukan kaum muslimin mulai meninggalkan Madinah.

Maka timbul fikiranku untuk mengejar mereka, alang-alang mereka belum jauh.  Namun, aku tidak melakukannya..kemalasan menghampiri dan bahkan menguasai diriku. Tampaknya aku ditakdirkan untuk tidak ikut. Akan tetapi, sungguh aku merasakan penderitaan batin sejak Rasulullah SAW meninggalkan Madinah.

Bila aku keluar rumah, maka di jalan-jalan aku merasakan keterasingan diri sebab aku tidak melihat orang kecuali orang-orang yang diragukan keislamannya.  Merekalah orang-orang yang sudah mendapatkan rukhshah atau izin Allah Ta’ala untuk uzur atau kalau tidak demikian maka mereka adalah orang-orang munafik. Padahal, aku merasakan bahwa diriku tidak termasuk keduanya.

Setibanya di sana, ketika baginda Rasulullah SAW sedang duduk-duduk bersama sahabatnya, baginda bertanya, “Apa yang dilakukan Ka’ab bin Malik?” Seorang dari Bani Salamah menjawab, “Ya Rasulullah, dia ujub pada keadaan dan dirinya!”
Mu’az bin Jabal menyangkal, “Buruk benar ucapanmu itu! Demi Allah, ya Rasulullah, aku tidak pernah mengerti melainkan kebaikannya saja!”

Rasulullah SAW hanya terdiam saja.

Beberapa waktu telah berlalu, aku mendengar Rasulullah SAW kembali dari kancah jihad Tabuk. Ada dalam fikiranku pelbagai desakan dan dorongan untuk membawa alasan palsu ke hadapan Rasulullah SAW, bagaimana caranya supaya tidak terkena marahnya?

Aku minta pendapat dari beberapa orang keluargaku yang terkenal berfikiran baik. Akan tetapi, ketika aku mendengar Nabi SAW segera tiba di Madinah, lenyaplah semua fikiran jahat itu. Aku merasa yakin bahawa aku tidak akan pernah menyelamatkan diri dengan kebatilan itu sama sekali. Maka, aku bertekad bulat akan menemui Rasulullah SAW dan mengatakan yang sebenarnya.

Pagi-pagi, Rasulullah SAW memasuki kota Madinah. Sudah menjadi kebiasaan, kalau baginda kembali dari suatu perjalanan, pertama baginda akan masuk ke masjid dan solat dua rakaat.  Demikian pula usai dari Tabuk..selesai solat baginda kemudian duduk melayani tetamu yang mengunjungnya. Lantas, datanglah orang-orang yang tidak ikut perang Tabuk dengan membawa alasan masing-masing diselangi sumpah palsu untuk menguatkan alasan mereka. Jumlah mereka kira-kira lapan puluh orang. Rasulullah SAW menerima alasan lahir mereka dan mereka pun memperbaharui baiah setia mereka. Baginda memohonkan ampunan bagi mereka dan menyerahkan soal batinnya kepada Allah.

Tibalah giliranku, aku datang mengucapkan salam kepada baginda.
Baginda membalas dengan senyuman pula, namun jelas terlihat bahawa senyuman baginda memendam rasa marah.

Baginda kemudian berkata, “Ke marilah!”
Aku pun menghampirinya, lalu duduk di hadapannya.
Baginda tiba-tiba bertanya, “Wahai Ka’ab, mengapa dirimu tidak ikut? Bukankah kau telah menyatakan baiah kesetiaanmu?”

Aku menjawab, “Ya Rasulullah! Demi Allah. Kalau di hadapan penduduk bumi yang lain, tentulah aku akan berhasil keluar dari amarah mereka dengan pelbagai alasan dan dalil lainnya. Namun, demi Allah. Aku sedar kalau aku berbicara bohong kepadamu dan engkau pun menerima alasan kebohonganku, aku khuatir Allah akan membenciku. Kalau kini aku bicara jujur, kemudian kerana itu engkau marah kepadaku, sesungguhnya aku berharap Allah akan mengampuni kealpaanku”. “Ya Rasululah SAW, demi Allah, aku tidak punya uzur. Demi Allah, keadaan ekonomiku aku tidak pernah stabil dibanding tatkala aku tidak mengikutimu itu!”
Rasulullah berkata, “Kalau begitu, tidak salah lagi. Kini, pergilah kau sehingga Allah menurunkan keputusan-Nya kepadamu!”

Aku pun pergi diikuti oleh orang-orang Bani Salamah. Mereka berkata, “Demi Allah. Kami belum pernah melihatmu melakukan dosa sebelum ini. Kau nampaknya tidak mampu membuat-buat alasan seperti yang lain, padahal dosamu itu sudah terhapus oleh permohonan ampun Rasulullah!” Mereka terus saja menyalahkan tindakanku itu hingga ingin rasanya aku kembali menghadap Rasullah SAW untuk membawa alasan palsu, sebagaimana orang lain melakukannya.

Aku bertanya kepada mereka, “Apakah ada orang yang senasib denganku?”
Mereka menjawab, “Ya! Ada dua orang yang jawapannya sama dengan apa yang kau perbuat.
Sekarang mereka berdua juga mendapat keputusan yang sama dari Rasulullah sebagaimana keadaanmu sekarang!” Aku bertanya lagi, “Siapakah mereka itu?”
Mereka menjawab, “Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi.”
Mereka menyebutkan dua nama orang soleh yang pernah ikut dalam perang Badar dan yang patut diteladani. Begitu mereka menyebutkan dua nama orang itu, aku bergegas pergi menemui mereka.

Tak lama setelah itu, aku mendengar Rasululah melarang kaum muslimin berbicara dengan kami bertiga, di antara lapan puluh orang yang tidak ikut dalam perang tersebut.
Kami memencilkan diri dari masyarakat umum. Sikap mereka sudah lain kapada kami sehingga rasanya aku hidup di suatu negeri yang lain dari negeri yang aku kenal sebelumnya. Kedua rakanku itu berdiam di rumah masing-masing menangisi nasib dirinya, tetapi aku yang paling kuat dan tabah di antara mereka.

Aku keluar untuk solat jamaah dan keluar masuk pasar meski tidak seorang pun yang mahu berbicara denganku atau melayan bicaraku. Aku juga datang ke majlis Rasulullah SAW sesudah beliau solat. Aku mengucapkan salam kepada baginda, sambil hati kecilku bertanya-tanya, memperhatikan bibir baginda, “Apakah baginda menggerakkan bibirnya menjawab salamku atau tidak?”
Aku juga solat dekat sekali dengan baginda.  Aku mencuri pandang melihat pandangan baginda.
Kalau aku bangkit mahu solat, baginda melihat kepadaku.  Namun, apabila aku melihat kepadanya,
baginda palingkan mukanya cepat-cepat.  Sikap dingin masyarakat kepadaku terasa lama sekali.

Pada suatu hari, aku mengetuk pintu pagar Abu Qaradah, saudara iparku dan ia adalah saudara yang paling aku cintai.
Aku mengucapkan salam kepadanya, tetapi demi Allah, ia tidak menjawab salamku.
Aku menegurnya, “Abu Qatadah! Aku mohon dengan nama Allah, apakah kau tau bahwa aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?” Dia diam.
Aku mengulangi permohonanku itu, namun dia tetap terdiam.
Aku mengulangi permohonanku itu, namun ia tetap terdiam.
Aku mengulanginya sekali lagi, tapi ia hanya menjawab,
“Allah dan Rasul-Nya lebih tahu!”
Air mataku tidak tertahan lagi.
Kemudian aku kembali dengan penuh rasa kecewa.

Pada suatu hari, aku berjalan-jalan ke pasar kota Madinah.  Tiba-tiba datanglah orang awam dari negeri Syam.  Orang itu biasanya menghantar dagangan ke kota Madinah.  Ia bertanya, “Siapakah yang mahu menolongku menemui Ka’ab bin Malik?”
Orang-orang di pasar itu menunjuk kepadaku, lalu orang itu datang kepadaku.. dan menyerahkan sepucuk surat kepadaku dari Raja Ghassan.
Setelah kubuka, isinya sebagai berikut, “… Selain dari itu, bahwa sahabatmu sudah bersikap dingin terhadapmu.  Allah tidak menjadikan kau hidup terhina dan sirna.  Maka, ikutlah dengan kami di Ghassan,
kami akan menghiburmu!”

Hatiku berkata ketika membaca surat itu, “Ini juga salah satu ujian!” Lalu aku memasukkan surat itu ke dalam tungku dan membakarnya.
Pada hari yang ke-40 dari pengasinganku di kampung halaman sendiri, ketika aku menanti-nantikan turunnya wahyu tiba-tiba datanglah kepadaku seorang pesuruh Rasulullah SAW menyampaikan pesannya,
“Rasulullah memerintahkan kepadamu supaya kamu menjauhi isterimu!”
Aku semakin sedih, namun aku juga semakin pasrah kepada Allah, hingga terlontar pertanyaanku kepadanya, “Apakah aku harus menceraikannya atau apa yang akan kulakukan?”
Ia menjelaskan, “Tidak. Akan tetapi, kamu harus menjauhkan dirimu darinya dan menjauhkannya dari dirimu!”
Kiranya Rasulullah juga sudah mengirimkan pesannya kepada dua sahabatku yang bernasib sama.
Aku langsung memerintahkan kepada isteriku, “Pergilah kau kepada keluargamu sampai Allah memutuskan hukumnya kepada kita!”

Isteri Hilal bin Umaiyah datang menghadap Rasulullah SAW lalu dia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sudah sangat tua, lagi pula dia tidak memiliki seorang pembantu.
Apakah ada keberatan kalau aku melayaninya di rumah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Akan tetapi dia tidak boleh mendekatimu!”
Isteri Hilal menjelaskan,
“Ya Rasulullah! Dia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi.
Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”

Ada seorang ahli keluargaku yang juga mengusulkan,
“Cuba minta izin kepada Rasulullah supaya isterimu melayani dirimu seperti halnya isteri Hilal bin Umayah!”
Aku menjawab tegas, “Tidak Aku tidak akan minta izin kepada Rasulullah SAW tentang isteriku.
Apa katanya kelak, sedangkan aku masih muda?”

Akhirnya, hari-hari selanjutnya aku hidup seorang diri di rumah. Lengkaplah bilangan malam sejak orang-orang dicegah berbicara denganku menjadi 50 hari 50 malam.

Pada waktu sedang solat subuh di suatu pagi dari malam yang ke-50, ketika aku sedang duduk berzikir meminta ampun dan mohon dilepaskan dari kesempitan hidup dalam alam yang luas ini..  Tiba-tiba aku mendengar teriakan orang-orang memanggil namaku.

Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!
Wahai Ka’ab bin Malik, bergembiralah!”
Mendengar berita itu, aku langsung sujud memanjatkan syukur kepada Allah.
Aku yakin, pembebasan hukuman telah dikeluarkan.
Aku yakin, Allah telah menurunkan keampunan-Nya.
Rasulullah SAW menyampaikan berita itu kepada sahabat-sahabatnya seusai solat subuh bahawa
Allah telah mengampuni aku dan dua orang sahabatku. Berlumba-lumbalah orang mendatangi kami, hendak menceritakan berita germbira itu.
Ada yang datang dengan berkuda, ada pula yang datang dengan berlari dari jauh mendahului yang berkuda.
Sesudah keduanya sampai di hadapanku, aku berikan kepada dua orang itu kedua pakaian yang aku miliki.
Demi Allah, saat itu aku tidak memiliki pakaian kecuali yang dua itu. Aku mencari pinjaman pakaian untuk menghadap Rasullah SAW.
Ternyata aku telah disambut banyak orang dan dengan serta merta mereka mengucapkan selamat kepadaku.
Demi Allah, tidak seorang pun dari muhajirin yang berdiri dan memberi ucapan selamat selain Thalhah.
Sikap Thalhah itu tak mungkin aku lupakan.

Sesudah aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya tampak cerah dan gembira, katanya kemudian, “Bergembiralah kau atas hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kau dilahirkan oleh ibumu!”
“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.
“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasulullah SAW.
Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW.”
Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh terharu dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepada-Nya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah:118)

karmila : Sirah sebagai satu pengajaran. Ujian yang dihadapi sebagai satu tarbiyah dari Allah. Hukuman bukanlah beerti noktah kepada perjuangan, bahkan ia berupaya membangunkan jiwa yang kental dan terus istiqamah demi menggapai redha Allah dan Rasul-Nya.