Memaparkan catatan dengan label SKETSA KEHIDUPAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SKETSA KEHIDUPAN. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Ogos 2012

SOLAT KITA : LALAI @ KHUSYUK


"Usolli fardhu zuhri arbaa rakaatain lillahitaala...Allahu Akbar"
Hish...kat mana letak resepi kek tu, tak apalah, rasa boleh ingat sikit-sikit.

"Allahu Akbar"
Emm..gula halus, serbuk koko memang ada lagi, lebih buat biskut hari tu.
Telur...nak berapa ye, rasanya 3 biji cukup.

"Allahu Akbar"
Haa..mentega dengan tepung kek tak ada, kena beli ni.

"Allahu Akbar"
Macam biasa gula dengan mentega mesin dulu.
Lepas tu masuk telur dulu baru tepung.

"Allahu Akbar"
La baru ingat kena guna air kotak coklat.

"Allahu Akbar"
Nak guna acuan bulat ke empat segi.

"Allahu Akbar"
Ok, dah gaul semua, bakar dalam oven.

"Assalamualaikum warahmatullah..."
"Assalamualaikum warahmatullah..."

"Astaghfirullahal azim...Ya Allah...lalainya aku. Siap sebiji kek dalam tengah solat.
Astaghfirullahal azim..."


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya. "

IMAM AL-GHAZALI memberi gambaran orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk langsung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang diucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, atau bacaan yang lain, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap.

karmila : Moga kita terus bermujahadah melawan nafsu dan bisikan syaitan bagi menggapai kenikmatan khusyuk dalam solat.

Selasa, 2 Ogos 2011

PUASA GITU-GITU VS PUASA BETUL-BETUL



Khairi : Salam Ramadhan Kareem...

Ashraf : Salam Ramadhan… Apa harapan kau untuk Ramadhan kali ini ?

Khairi : Harapan aku agar puasa kali ini, aku puasa betul-betul bukan puasa gitu-gitu..

Ashraf : Aik, ada puasa gitu-gitu ke, aku ingat Apek je yang gitu-gitu.. (sambil menunjukkan gaya tangan macam Apek)

Khairi : Ada..kau tau tak apa bezanya antara gitu-gitu dengan betul-betul puasa.

Ashraf : Idak la aku tau, sebab kau yang bagi istilah tu. Cer cite sikit.

Khairi : Puasa gitu-gitu maksudnya yang biasa kita buat - puasa siang hari, malamnya solat terawih, bertadarus, bersedeqah ..

Ashraf : Eh, biasanya begitu la kita buat sepanjang bulan ramadhan, ada tak betul ke..

Khairi : Aku tak kata salah, memang kebiasaan begitu. Tapi, puasa betul-betul ni maksudnya, amalan yang kita buat sepanjang ramadhan ni bukan sekadar kebiasaan tetapi natijahnya nanti dapat membentuk diri menjadi lebih bertaqwa kepada Allah. Itukan juga yang dinyatakan dalam ayat 183 surah Al-Baqarah.

Ashraf : Ya betul tu. Taqwa tu kan maksudnya mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.

Khairi : Taqwa datang dari kata asal waqa atau wiqayah. Ertinya, berhati-hati atau mencegah. Jadi makna mudahnya, orang bertaqwa ialah orang yang sangat berhati-hati.

Ashraf : Berhati-hati dengan hukum Allah la kan.

Khairi : Orang bertaqwa akan sentiasa berhati-hati dengan Syariatullah, hukum Allah yang halal, haram, sunat, makruh dan harus. Dan juga sentiasa berhati-hati dengan Sunnatullah, peraturan alam yang telah diatur oleh Allah.

Ashraf : So, bagaimana nak gapai taqwa dalam bulan puasa ni..

Khairi : Kita kena jadikan bulan Ramadhan sebagai madrasah latihan mengawal hawa nafsu untuk membentuk sifat taqwa sebagai persediaan mengharungi 11 bulan yang mendatang. Tetapi kita sekarang macam terbalik, 11 bulan sebelum ni kita pi bantai buat apa saja ikut nafsu kita, kemudian bila sampai Ramadhan kononnya kita jadi ’baik’ sekejap.

Ashraf : Haah la. Sepatutnya kalau dalam bulan Ramadhan kita memang disyariatkan berpuasa, bulan-bulan lain kita kena biasakan juga dengan puasa-puasa sunat. Kalau masa Ramadhan kita rajin berulang ke masjid untuk solat Isyak dan Terawih berjemaah, sepatutnya kena teruskan juga selepas bulan Ramadhan untuk solat berjemaah. Kalau kita rajin bertadarus dan boleh khatam Quran dalam bulan Ramadhan, kenapa tak diteruskan juga amalan membaca Al-Quran tu pada bulan-bulan yang lain. Kalau ketika berpuasa kena elakan berkata dusta, mengumpat dan mengadu domba, sudah tentulah di bulan lain pun begitu juga.

Khairi : Sebab kita tak anggap bulan Ramadhan ni sebagai bulan latihan untuk kita. Ingat nak raya saja. Sepatutnya semua ibadah yang kita lakukan di bulan mulia ini atas dasar rasa kehambaan kepada Allah SWT. Sewajarnya seorang hamba itu mematuhi perintah Penciptanya. Maka, sudah tentulah matlamat taqwa itu dapat dicapai. Pada taqwa itu terselit makna ketakutan, kerendahan diri dan kekerdilan kita sebagai hamba Allah SWT. Bila kita lewat solat, bila kita buat dosa, bila kita lakukan maksiat, bila kita berbohong, bila kita tidak menutup aurat, adakah kita ada rasa takut pada Allah?

Ashraf : Aku teringat kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang taqwa ni, Tuan Guru bagi perbandingan yang simple je. Katanya, ''Taqwa ni brek. Dengan taqwa, manusia tak berani untuk lakukan dosa kerana dihentikan keinginan itu oleh taqwa. Sebagaimana kereta yang laju, jika tak ada brek, pasti akan melanggar kenderaan lain. Begitu juga manusia yang bertaqwa, tak akan berani lakukan dosa..''

Khairi : Betul..betul..betul...

”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Ayat 183 - Surah Al-Baqarah)

”Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kami di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Ayat 52 - Surah An-Nur)

Saat Umar al-Khattab bertanya kepada Ubay bin Ka’ab apakah taqwa itu?
Dia menjawab; “Pernahkah kamu melalui jalan yang penuh duri?”
Umar menjawab; “Pernah!”
Ubay menyambung, “Lalu apa yang kamu lakukan?”
Umar menjawab; “Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati, waspada dan penuh keseriusan.”
Maka Ubay berkata; “Maka demikian pulalah TAQWA!”

Selasa, 25 Mei 2010

SKETSA (2)


Isteri : Bang, nanti berhenti kat kedai depan tu, Mas nak beli barang sikit.

Suami : Nak beli apa?

Isteri : Ingat nak buat cucur udang bila sampai kat rumah nanti.

Suami : Emm.. rajin pulak awak, tak penat ke, kang nak masak malam lagi..

Isteri : Hari ni kerja tak banyak, tak le penat sangat.

..Sejam kemudian...
Isteri : Bang, marilah makan cucur udang ni, sedap makan panas-panas...

Suami : (sambil mengunyah) Emm.. awak kata apa tadi.. cucur udang? Mana udangnya? Saya tak nampak ada udang pun?

Isteri : (dengan hati sedikit bengang, cuba untuk menjawab sambil control suara) Bang, bang, pagi tadi masa kat kafe, Mas nampak abang makan kuih favourite abang, kuih cucur badak......
tapi kan, Mas hairan gak, tak nampak pulak ada badak pada kuih tu...

Suami : Adus....

karmila : Ha...kena sebijik.... Itulah...kekadang kita ni bercakap memang tak pikir langsung perasaan orang, main sedap mulut aje. Kononnya dia tu jenis orang berterus-terang, tak hipokrit, bukan jenis cakap belakang-belakang. Memang le bagus macam tu, tapi kalau gaya cakap macam perli, kutuk, mana tahan, beb. Lain kali, pikir dulu sebelum cakap, jaga sikit perasaan orang. Terlajak perahu nasib baik tak lemas, terlajak kata...keme tanggung le sendiri...

Kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh anak Adam adalah di lisannya (percakapannya).
(Riwayat Thabraani & Baihaqi)

Jumaat, 11 Disember 2009

SKETSA (1)



Fahmi : Eh, Nizam, aku nak tanya kau sikit. Macam mana kalau masa kau buat kerja, tiba-tiba boss kau panggil.

Nizam : Eh, tentulah aku on the spot jumpa dia. Dia yang bayar gaji, maaa…

Fahmi : Ok, macam mana kalau awek kau pulak panggil.

Nizam : Ooo.. sudah tentulah aku akan berlari-lari pergi mendapatkannya, he..he..he..

Fahmi : Habis tu, kalau Raja segala Raja panggil kau, melalui laungan azan tu (sambil menunjukkan tv), apa kau nak buat?

Nizam : (Terkedu seketika, kemudian sambil tersengih menjawab) Bab yang itu aku fail sikit...

karmila : Kita mengakui Allah Maha Besar – Namun kekadang, kita masih juga membesarkan perkara lain selain dari diriNya… Waktu solat dah lama masuk – tapi kita masih mengadap TV, kita masih sibuk dengan kerja, kita masih boleh lagi pergi pasar malam, kita boleh selamba bershopping, kita masih leka bermain di padang dan kita masih boleh nak tidur lagi…
Ya Allah, begitu alpanya diriku ini. Sekian banyak nikmat yang kukecapi, namun aku masih membesarkan selain diri-Mu. Ya Allah, pimpinlah aku menuju redha-Mu.