Khamis, 8 Oktober 2020

KISAH SAIDINA AMRU AL-AS : PERANG ZATUSSALASI





Cerita minggu lepas.  Allah beri kesempatan masa untuk sama-sama berusrah dengan sahabat yang hebat-hebat belaka.  Naqibah kak Noraishah Abd Rahim, Ustazah Rozaidah Mohd Radzi, Ustazah Norsal Rahila, kak Rahayu Mat Nayan, Adila Kamal dan  Amira Husna.  Moga Allah merahmati kalian semua. 

Antara pengisian usrah adalah perbentangan dari Ustazah Rozaidah Mohd Radzi berkisar tajuk MENTAATI ARAHAN PIMPINAN dengan berkongsi sirah dari kisah SAIDINA AMRU AL-AS.  Moga ada pengajaran yang kita dapat kutip sebagai bekalan perjuangan.  Insya Allah. 


KISAH SAIDINA AMRU AL-AS 

PERANG ZATUSSALASI 

Rasulullah SAW melantik Amru Al-As sebagai ketua angkatan tentera Islam ke Zatussalasi (Zat Al-Salasil) kerana nenek sebelah bapanya Al-As dari kabilah yang berada di situ. Maka, sudah tentu Amru sangat mahir dan tahu akan selok belok kawasan tersebut. Amru Al-As yang baru 5 bulan memeluk Islam dihantar bersama pasukan 300 orang tentera untuk memerangi qabilah Arab yang bersekongkol dengan pihak Rom menentang tentera muslimin dalam perang Mu'tah. Amru membawa tentera bergerak pada waktu malam dan bersembunyi pada waktu siang. Apabila sampai dekat dengan Khudhaah, mereka mendapat berita bahawa Khudhaah membuat persiapan yang sangat besar. Dengan itu, dia menghantar utusan kepada Nabi Muhammad memohon bantuan bagi menghadapi kekuatan Khudhaah. Baginda mengutuskan 200 orang tentera yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bagi membantu Amru. Dan di kalangan tentera tersebut adalah sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Nabi Muhammad berpesan kepada Abu Ubaidah supaya jangan menyalahi pandangan Amru. Pasukan bantuan ini tiba sebelum Amru menyerang Khudhaah. Apabila masuk waktu solat, Abu Ubaidah mahu maju ke depan mengimami solat selaku ketua pasukan.

Kata Amru, "Wahai Abu Ubaidah, kamu sebagai pasukan bantuan kepada aku, akulah yang akan mengimami pasukan tentera."  Abu Ubaidah menghormati pandangan Amru dan menarik diri dari menjadi imam. 

1. Melarang menyalakan unggun api 

Operasi ini berlaku di musim sejuk, dalam keadaan cuaca yang sangat-sangat sejuk sehingga memerlukan api untuk memanaskan badan. Tiba-tiba, Amru mengeluarkan arahan melarang tentera Islam menyalakan api. Bahkan sesiapa yang melanggar arahan akan dihukum bakar dengan api yang dinyalakan. Kata-kata Amru Al-As ini membangkitkan kemarahan Umar Al-Khattab. Lantas Abu Bakar segera menenangkannya seraya berkata, "Wahai Umar, sesungguhnya Rasulullah telah memerintahkan kita supaya mentaati dan tidak mengingkari. Rasulullah melantiknya kerana kebolehan dan kebijaksanaan yang ada padanya.” 

2. Bertayamum dan mengimami solat Subuh 

Pada keesokkan paginya, Amru bertayamum, semasa mahu bersolat subuh. Umar ternampak lalu bertanya, "Wahai Amru, kenapa kamu bertayamum?"
Kata Amru, "Aku bermimpi dan berhadas besar."

Kata Umar lagi, "Air ada, wahai Amru, kenapa kamu tayamum."

Kata Amru mempertahankan pandangannya, "Cuaca terlalu sejuk. Tidak mungkin aku mandi dengan air."

Amru mengimamkan solat subuh pasukan tenteranya hanya dengan bertayamum selepas dia berjunub. Para sahabat semakin tertekan dengan sikap Amru, tetapi kerana mentaati pemimpin yang dilantik oleh Nabi Muhammad, mereka bersangka baik dengan Amru.

Umar datang mengadu kepada Abu Bakar berkenaan keputusan-keputusan Amru yang tidak dipersetujui.

Kata Abu Bakar, "Wahai Umar, kalaulah Amru bukan lebih baik daripada kamu dalam menjalankan misi ini, nescaya Muhammad tidak melantik dia memimpin kamu."

3. Tegahan mengejar tentera musuh 

Selepas solat subuh, mereka menyerang Khudhaah. Serangan yang mengejutkan dan kuat. Khudhaah tidak menyangka langsung. Perisik-perisik mereka tidak berjaya mengesan pergerakan tentera Islam. Semua tentera musuh lari berundur meninggalkan medan perang dan harta mereka. Tentera Islam mula ingin mengejar dan menawan tentera musuh. Pada masa itu, Amru mengeluarkan satu lagi arahan yang mengejutkan semua orang. Dia memerintahkan tentera Islam membiarkan tentera musuh lari. Tentera Islam diperintahkan berundur semula, mengambil harta rampasan dan pulang ke Madinah. 

Jawapan Amru Al-As kepada Rasulullah SAW 

Setibanya di Madinah, anggota tentera Islam melaporkan perkara-perkara yang dilakukan oleh Amru kepada Rasulullah SAW. Baginda memanggil Amru dan meminta penjelasan dari beliau : 

Rasulullah SAW bertanya kepadanya,"Wahai Amru, kenapa kamu biarkan tentera kesejukan dan kamu melarang mereka menyalakan api?" 

Jawab Amru, "Wahai Muhammad! Bilangan kami sedikit sedangkan bilangan tentera musuh beribu-ribu. Kami berada di kawasan musuh, jikalau api dinyalakan, nescaya musuh menyedari ketibaan tentera Islam. Musuh tentu dapat melihat dan mengetahui jumlah anggota tentera Islam dan pasti mereka akan membunuh kami semua.” 

"Kamu adalah benar. Kenapa kamu mengimami solat hanya dengan tayamum selepas kamu berjunub sedangkan ada air?" Rasulullah bertanya lagi. "Wahai pesuruh Allah! Kalau aku mandi dengan air, aku akan binasa kerana cuaca terlalu sejuk. Allah melarang daripada membiarkan diri binasa." 

Lantas, Amru Al-As membacakan potongan ayat dari Surah An-Nisa' ayat 29 : 

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا 

(Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang terhadap kamu) 

Rasulullah SAW ketawa mendengar jawapan Amru Al-Asr dan kemudian senyap (tanda mengiyakan tindakan Amru Al-As). 

“Kenapa kamu melarang tentera Islam mengejar dan menawan pihak musuh yang berundur?"   

"Tentera Islam telah menang dan dapat mengumpulkan ghanimah, ini sudah dapat menggerunkan musuh. Aku khuatir jika mengejar mereka, ia merupakan suatu penipuan untuk memerangkap tentera Islam." 

"Kamu benar." Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan semua keputusan Amru. 


Karmila : Mari kita hayati ibrah (pengajaran) yang sangat berguna buat kita semua daripada sirah ini : 

1. Wala’ (kesetiaan) dan taat (kepatuhan) kepada arahan pimpinan selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

2. Faktor usia yang 'senior' bukan satu-satunya kriteria yang dilihat dalam memilih kepimpinan yang baik. 

3. Faktor usia yang ‘junior’ atau ‘muda’ bukan menjadi penghalang untuk dilantik sebagai pimpinan selagi mana ia menepati kriteria sebagai pemimpin. 

4. Para sahabat ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan sahabat yang lain, namun mereka tidaklah membicarakan secara terbuka ketidaksetujuan tersebut sehingga menjadi pemecah belah di kalangan mereka. Yang penting, mereka berlapang dada dan ukhuwah terjalin seperti biasa. 

5. Para sahabat yang menyertai peperangan tersebut tidak membuka mulut menjaja cerita tetapi bersikap Tabayyun iaitu mendapatkan terlebih dahulu penjelasan dan memahami rasional sesuatu perkara. 

6. Keikhlasan dalam menyertai perjuangan menegakkan Islam kerana mengharap Redha Allah semata, bukan kerana faktor duniawi. 

7. Kebijaksanaan dalam beroganisasi, menjaga disiplin dan mengatur strategi mengikut keperluan. 

8. Tetap istiqamah dengan perjuangan walaupun menghadapi pelbagai cabaran mehnah dan tribulasi. 

 Wallahu’alam bissawab. 



#usrahdmpktambun   #muslimatAKIFI   #ukhuwahfillahtilljannah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan