Isnin, 19 Oktober 2020

TABAYYUN VS TIBAIYUN



 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نادِمينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat :6)


DEFINISI TABAYYUN

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3485-bayan-linnas-siri-ke-184-tabayyun-dalam-penerimaan-dan-penyampaian-berita


يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti

Ini adalah apabila ada orang yang fasiq  datang bawa maklumat. Iaitu jenis yang dengar sahaja dan dia sampaikan tanpa memastikan berita itu benar atau tidak.

Ini adalah sifat munafik. Dan ia berlawanan dengan syariat agama. Kerana tidak boleh sampaikan berita kecuali benda itu pasti benar. Telah disebut tentang perkara ini  di dalam Al-Qur’an dan sunnah tentang perkara ini. Sila rujuk ayat Isra : 36.

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Maknanya, jangan kita memperkatakan sesuatu tanpa kita ada ilmu – iaitu tanpa kita tahu yang ianya benar atau tidak. Kita kena pastikan ianya benar sebelum kita sampaikan kepada orang lain.

Ada satu hadis yang jelas berkenaan perkara ini juga. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim bin Al-Hajjaaj رحمه الله dalam kitab Shahiih-nya dengan sanad dan matan lengkapnya :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَفْصٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ خُبَيْبِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، قال : كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا، أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ


Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah, telah menceritakan kepada kami ‘Aliy bin Hafsh, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Khubaib bin ‘Abdirrahman, dari Hafsh bin ‘Aashim, dari Abu Hurairah, dari Nabi , beliau bersabda, “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika dia menceritakan 

semua yang dia dengar.” [Shahih Muslim no. 6]


Jadi sudah ada dua dalil yang kuat (Al-Qur’an dan hadis) tentang perkara ini. Dan kalau dua dalil ini tidak dipakai, maka orang itu dikira sebagai orang yang fasik kerana tolak hukum. Maka jangan kita jadi seperti mereka. Kalau tidak pasti lagi kesahihan sesuatu perkara, jangan sebarkan. Kalau nak sebarkan, kena periksa dulu.

Ini banyak terjadi dalam zaman sekarang yang semakin teruk. Kerana senang sangat maklumat hendak diforward kepada orang lain. Dengan sekali tekan sahaja, beratus orang boleh terima maklumat yang entah benar entah salah. Yang forward itu pun bukannya pastikan ia benar atau tidak, janji dia forward dulu. Maka ini perlulah diberhentikan serta merta. Jangan lagi jadi ‘kaki forward‘.

Kalau tidak, ia boleh menjadi masalah besar kerana maklumat boleh salah didengari dan kerana itu boleh salah penyampaian kepada orang lain. Kalau tidak percaya, boleh buat eksperimen satu permainan yang dipanggil ‘Telefon Karat atau Chinese Whisper‘.

Beri satu maklumat kepada seorang dan suruh dia sampaikan kepada orang lain. Katakanlah ada 10 orang bermain. Kalau kita lihat balik apakah maklumat yang disampaikan oleh orang yang kesepuluh itu, ia sudah tentu lain dari maklumat yang kita sampaikan kepada orang yang pertama. Ini terjadi kerana kebiasaan manusia yang akan tambah maklumat mereka sendiri (kadangkala tanpa sengaja). Mereka tambah itu sedikit sahaja tetapi ia akan menjadi banyak lama kelamaan.

Ini kerana kita selalunya faham sesuatu perkara itu dan kita simpan maklumat itu menggunakan pemahaman kita sendiri. Dan kemudian kita keluarkan juga ikut pemahaman kita. Dan pemahaman kita tidak semestinya sama dengan orang lain. Orang lain pula, bila dia terima, dia pun akan terima ikut pemahaman dia pula. Jadi boleh nampak bagaimana perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan?

Jadi, apabila kita dapat maklumat dari orang-orang yang tidak endahkan tentang hukum penyebaran maklumat, kena pastikan kebenarannya. Mereka kena jelaskan dari mana mereka dapat maklumat itu. Dan kita kena minta bukti dari mereka. Dan kalau mereka tidak ada bukti, jangan dengar. Kena tanya dia balik: “Kau pastikah maklumat ini benar? Kau dapat dari mana?”

Dan jangan cerita pula kepada orang lain (jangan panjangkan lagi). Ini penting kerana orang beriman kena pastikan maklumat yang dibawa. Orang yang fasiq adalah orang yang tidak memastikan kesahihan maklumat itu.


أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهٰلَةٍ


agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan

Maklumat yang salah ada kesannya. Bukan setakat bercakap sahaja, bukan setakat cerita sahaja. Maklumat yang salah akan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Dan ini akan terjadi kerana kejahilan kita yang tidak memastikan maklumat itu benar atau tidak. Kerana mungkin maklumat yang salah itu menyebabkan jatuhnya nama seseorang, menyebabkan perkelahian, menyebabkan jatuh perniagaan seseorang dan sebagainya.

Kesan yang terkait boleh jadi besar, sedangkan kita cakap senang sahaja masa minum-minum di kedai kopi sahaja. Tetapi pada orang lain, mereka melihat ianya masalah yang besar pada mereka. Kita sendiri pun mungkin pernah kena dengan perkara ini bukan? Kadang-kadang bila dikaji balik, baru nampak bagaimana ianya adalah salah faham sahaja. Dan permasalahan itu boleh dielak jikalau pihak yang mendapat maklumat itu periksa dahulu sama ada berita itu benar atau tidak.

Dan jangan kita lupa bagaimana masalah yang kecil boleh jadi besar. Ia boleh jadi terlalu besar sampai tidak boleh hendak diselamatkan. Mungkin kerana berita palsu, orang akan habiskan duit mereka dan tidak dapat diambil kembali. Maka kena selidiklah dahulu apa yang disampaikan kepada kita. Inilah dinamakan TABAYYUN.


فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ

yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu

Kalau kita tidak berhati-hati dengan maklumat yang diterima dari orang fasik, kemudian kita sampaikan kepada orang lain, dan ada masalah atau kerugian yang timbul, kita sendiri yang akan menyesal nanti. Jadi ALLAH telah beri nasihat awal-awal supaya jangan lakukan perkara itu.

Maka kena sabar dulu dari sebarkan. Janganlah ikut perangai kebiasaan orang. Kena ingat yang manusia ini memang ada dua sifat yang susah nak dihilangkan, hendak tahu dan hendak beritahu :

Pertama, dia sibuk hendak tahu tentang orang.

Kedua, dia sibuk nak cerita tentang orang kepada orang lain.

Wallahu 'alam bissawab.

https://celiktafsir.net/2017/05/22/hujurat-ayat-6-8/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan