
Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari, Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikuti dari belakang.
Melihat tingkah laku Luqman itu, orang pun berkata, ”Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki.”
Selepas mendengar kata-kata orang ramai, maka Luqman pun turun dari himarnya dan diletakkan anaknya pula di atas himar itu. Melihatkan yang demikian itu, maka orang ramai di pasar itu berkata pula, ”Lihat, orang tuanya berjalan kaki, sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu.”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, ”Lihat itu dua orang menaiki himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu.”
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, ”Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai.”
Dalam perjalanan kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, ”Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu.”
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, ”Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdaya orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya.”
karmila : Bukan senang nak puaskan hati semua orang. Almaklum, hati dan pemikiran bukan semua sama. Yang pasti, kita tahu kita telah melakukan sesuatu dengan sehabis baik dan yang penting sekali perbuatan kita itu adalah tak bercanggah dengan undang-undang Allah mahupun manusia. Tapi kan...ada masanya kita juga perlu mendengar cakap-cakap orang. Mungkin ada perbuatan kita yang menyakitkan hati dan mungkin juga kita syok sendiri, kita ingat kitalah yang terbaik...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan