

TATKALA IMAN BERBICARA....
Wahai Anak...
Mengapa sekarang...
mudah mengeluh bila perlu membawa ibu dan ayah dengan keretamu.
Sedangkan dulu...
ibu membawamu di dalam perutnya selama 9 bulan lebih tanpa merungut tanpa berkira
ayah pula sering membawamu pusing-pusing dengan motornya.
Wahai Anak...
Mengapa sekarang...
tiada lagi peluk cium buat ibu dan ayahmu.
Sedangkan dulu...
ibu dan ayahmu tak lupa memberikan ciuman, sentuhan dan pelukan kasih sayang kepadamu setiap masa.
Wahai Anak...
Mengapa sekarang...
kau sering mengelak dari memandang muka ibu dan ayahmu.
Sedangkan dulu...
ibu dan ayah memandangmu dengan penuh kasih sayang, sentiasa terbayang raut wajah anak di ingatan.
Wahai Anak...
Mengapa sekarang...
berat mulutmu hendak bertanya khabar dan bersembang dengan ibu dan ayahmu.
Sedangkan dulu...
kau asyik bertanya itu ini kepada ibu dan ayahmu, namun mereka tetap setia melayan celotehmu.
Wahai Anak...
Mengapa sekarang...
begitu berkira-kira hendak memberi wang kepada ibu dan ayahmu.
Sedangkan dulu...
ibu sanggup membeli apa saja yang kau minta dan ayah tak pernah menolak jika kau meminta wang darinya.
Wahai Anak...
Mengapa sekarang...
jarang benar kau menghadiahkan sesuatu kepada ibu dan ayahmu.
Sedangkan dulu...
ibu dan ayah tak kisah memberimu hadiah bilamana sampai hari lahirmu, ketika kau lulus peperiksaan sehinggalah kau berjaya menamatkan pengajianmu.
Wahai Anak...
Siapalah kau tanpa ibu ayahmu,
Tanpa mereka, tiadalah dirimu,
Bersyukurlah kepada Allah,
Berterima kasihlah kepada ibu ayah,
Kerana telah tertulis, kau lahir ke dunia,
Ibu ayah telah memeliharamu sepenuh jiwa,
Bukannya membiarkan kau sebatang kara...

#Al-Fatihah buat al-marhum Abah tercinta, Nan b. Atan, yg telah kembali ke rahmatullah pd 1 Jun 2012. Moga Allah mengampuni dosa-dosa abah, diamankan dari siksa kubur, dilapangkan kuburnya & diberi cahaya serta ditempatkan di kalangan orang-orang yg beriman. Amiin...
MUNAJATKU
Dengan nama Allah yang Maha Permurah lagi Maha Penyayang...
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam...
Selawat dan salam ke atas Junjungan tercinta Rasulullah SAW,
ahli keluarga serta para sahabat baginda...
Ya Allah, Ya Tuhanku...
Ampunilah segala dosaku, dosa kedua emak dan abahku...
Kau kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihaniku, memeliharaku dan mendidikku ketika aku masih kecil dan sehingga ke hari ini...
Rahmatilah mereka berdua Ya Allah...
Kurniakan mereka kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan...
Lindungi mereka daripada mara bahaya, malapetaka,
kejahatan dan hasad dengki makhluk-makhluk Mu, Ya Allah...
Kurniakan kepada mereka petunjuk taufik dan hidayahMu...
Kau ampuni dosa-dosa mereka...
Masukkan mereka ke dalam SyurgaMu, jauhkan mereka daripada NerakaMu, Ya Allah...
Kau sediakan sebuah mahligai di dalam SyurgaMu untuk emak dan abahku, Ya Allah...
Sesungguhnya Ya Allah...
Aku tidak mampu membalas segala jasa dan pergorbanan kedua emak dan abahku, Ya Allah...
Kau pimpinlah aku agar menjadi anak yang solehah, yang beriman dan bertakqwa kepadaMu...
Agar aku menjadi pahala yang berterusan kepada emak dan abahku di dunia dan di akhirat kelak...
Ya Allah...
Janganlah Kau pesongkan hati kami setelah kami mendapat petunjuk...
Berilah kami rahmat, sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi...
Kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat...
Dan peliharalah kami daripada seksaan api neraka...
Ya Allah, kurniakan rahmat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,
Kaum keluarga dan para sahabat baginda...
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam...
Amin...Amin.. Ya Rabbal alamin...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan