Isnin, 15 Ogos 2011

KEISTIMEWAAN BUAH KURMA



"Kurma memiliki kadar potassium dua kali ganda lebih tinggi daripada sebiji pisang dan membantu mencegah pelbagai jenis penyakit seperti sakit kerongkong, demam, cirit-birit, sakit perut, pengurangan kolesterol dan menjaga penglihatan. Kurma juga sesuai dijadikan makanan harian khususnya untuk sarapan pagi dan bersahur sebelum memulakan tugasan harian"
Datuk Yusuf Taiyoob, pengerusi Yusuf Taiyoob Sdn Bhd.

Bulan Ramadan dan buah kurma antara dua element yang tidak boleh di pisahkan. Seakan menjadi unsur penyatu, buah kurma boleh ditemui di mana-mana sepanjang bulan puasa dari pasar-pasar tradisional sampai ke gedung beli-belah mewah. Malah buah kurma juga terdiri daripada pelbagai rencam jenisnya di seluruh dunia. Yang paling terkenal ialah Aebel dan Haleem di Libya, Ajwah dan Barakah di Arab Saudi, Amir Hajj di Iraq, Hayany di Mesir, Abid Rahim, Bireir dan Barakawi di Sudan serta Deglet Noor di Algeria, Tunisia dan Amerika Syarikat.

Buah Kurma sememangnya bertaraf antarabangsa tanpa mengira bangsa dan Negara. Data Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada tahun 2005 menunjukkan 10 negara penghasil kurma terbesar dunia ialah Iraq, Arab Saudi, Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Pakistan, Sudan, Libya dan China. Dengan sejarah panjang sebagai makanan ruji masyarakat di Asia Barat sejak ribuan tahun lampau, buah kurma yang berasal dari tumbuhan liar di Teluk Parsi telah ditanam sejak zaman Mesopotamia ke prasejarah Mesir berkemungkinan seawal tahun 6,000 sebelum Masihi dengan penemuan bukti arkeologi pada penanaman buah kurma di Arabia Timur. Suku Arab kemudian menyebarkannya ke sekitar Asia Selatan dan Asia Tenggara, Afrika Utara dan Sepanyol. Ia turut di perkenalkan di Mexico dan California oleh Sepanyol pada tahun 1765 iaitu semasa Misi Sanignacio.

Terdapat 21 ayat dalam AL-QURAN dan tidak kurang dari 263 ayat dalam hadis yang menyebut tentang khasiat atau manfaat buah kurma. Maka menglokaliti buah kurma sebagai sunnah Rasulullah SAW yang berbangsa Arab atau nilainya yang ketinggalan zaman adalah kurang tepat kerana buah seribu khasiat ini sudah dibuktikan pakar sebagai buah ajaib sepanjang zaman.

Jean Carper dalam bukunya, "Food your miracle medicine" menyatakan bahawa buah kurma mempunyai kandungan salisilat atau aspirin semulajadinya yang tinggi. Ia adalah baik sebagai rawatan pencegahan dari mengubat kesan akibat penyakit. Mengikut kajian..."The fruit of the date palm: its possible use as the best food for the future" dalam international journal of food and science nutrition, buah kurma adalah makanan yang ideal pada masa hadapan.

Ia mengandungi 15 jenis garam dan mineral, diperkaya dengan vitamin, kadar karbohidrat yang tinggi antara 44-88 %, kadar serat antara 6.4-11.5 %, kadar protein antara 2.3-5.6 %, kadar lemak antara 0.2-0.5 %. Protein raja buah padang pasir ini dibina daripada 23 jenis asid amino yang sebahagiannya tidak terdapat dalam buah oren, epal dan pisang.

Dr Anwar El Mufti dari Mesir menjelaskan bahawa buah kurma mengandungi zat gula paling banyak iaitu 70 %. Dengan nisbah kandungan gula yang tinggi itu, glukosa membentuk 55 % manakala fruktosa sebanyak 45 % daripadanya, ditambah pula nisbah daripada daripada protein-protein, lemak, sebahagian vitamin dan mineral. Fruktosa ini kemudian akan diserap secara langsung daripada sistem penghadaman bagi menghilangkan keadaan terdesak tubuh yang memerlukan tenaga.

Menurut mantan Pengarah British Nutrition Foundation, Dr David Conning, segelas air yang mengandungi glukosa akan menyerap ke dalam tubuh antara 20 hingga 30 minit tetapi gula yang terkandung dalam kurma mengambil masa lebih lama iaitu dalam tempoh 45 hingga 60 minit. Oleh yang demikian, kurma bukan sahaja sesuai untuk berbuka tetapi juga untuk bersahur kerana buah yang kaya dengan serat ini boleh memberikan daya tahan lebih lama kepada badan.

Kajian kimia dan fisiologi oleh Dr Ahmad Abdul Ra`ouf dan Dr Ali Ahmad Syahhat menunjukkan bahawa buah kurma ialah makanan berserat tinggi, mengandungi kalsium, potassium, folate, vitamin A, B, B1, B2, B3, C dan E malah ia bebas lemak dan kolestrol. Ia juga amat membantu mencegah penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kencing manis selain boleh mengurangkan kesan penyakit anemia dan pucat pada tubuh badan.

Pengambilan buah kurma sebanyak 65 gram atau lima biji sehari akan membekalkan 400 mg kalium yang boleh mengurangkan 40 % risiko serangan penyakit strok. Menurut pakar penyakit darah tinggi, Dr Louis Tobian dari Uuniversiti Minnesota, Amerika Syarikat kandungan kalium ini membantu menurunkan tekanan darah dan membekalkan tenaga untuk mencegah strok secara langsung. Bagi membuktikan hipotesisnya, Dr Louis Tobian melakukan experimen kepada dua kelompok tikus yang terkena hipertensi dengan satu kelompok diberikan diet tinggi kalium dan satu kelompok lagi diberi kalium normal. Hasilnya tiada seekor tikus dalam kelompok tikus yang mendapat kalium yang tinggi mengalami pendarahan otak manakala 40 % kelompok tikus yang mendapat kalium normal menghidapi strok ringan melalui pendarahan otak.



Namun jauh sebelum kajian moden itu, riwayat Ahmad dan Tarmizi menyatakan, "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (buah kurma segar dari pokok yang sudah masak tetapi belum di keringkan) sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji kurma, maka baginda minum beberapa teguk air."

Waima sebelum kelahiran baginda lagi, khasiat kurma telah dirakam Allah SWT dalam bantuanNya kepada Siti Maryam AS ketika hendak melahirkan Nabi Isa AS sebagaimana dalam firmannya dalam surah Maryam ayat 25 dan 26, "Dan goncanglah pangkal pohon kurma ke arahmu pasti pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan."

Kajian saintifik beribu tahun kemudiannya membuktikan bahawa kurma baik untuk kaum ibu bersalin dan bernifas. Menurut Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam bukunya Tempoh mengandung dari segi perubatan, Fiqhiyah dan perundangannya menjelaskan jus kurma membantu cengkaman rahim sewaktu proses kelahiran, memperkuat urat-urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan mempermudah proses kelahiran bayi. Jus Kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan sistem organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi. Unsur zat besi dan kalsium di dalam buah kurma itu juga penting dalam pembentukan kandungan susu ibu selain berperanan untuk pertumbuhan kanak-kanak damit, pembentukan darah dan sum-sum tulang. Bahkan di dalam kurma terdapat hormone (potuchsin) yang boleh melancarkan pembuluh darah dalam rahim sehingga mencegah pendarahan rahim.

Menginsafi hakikat itu, Rasulullah SAW berpesan, "Beri makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah kurma tersebut semasa hamilnya, maka anak yang akan lahir itu akan menjadi seorang yang penyabar dan bersopan-santun kerana makanan Siti Maryam AS ketika melahirkan Nabi Isa AS adalah buah kurma. Sekiranya Allah ada menjadikan sesuatu buah yang lebih baik daripada kurma, sudah tentu Allah SAW telah memberi makan (kepada Siti Mariam A.S)."

Begitu juga dengan sunnah ‘tahnik’ iaitu amalan membelah mulut bayi dengan menyapukan cebisan kurma ke lelngit mulutnya. Kajian yang disiarkan dalam British Medical Journal bertajuk... "The analgesic (pain killing) Effect of sucrose in Full Term Infants: A Randomised Controlled Trial," pakar-pakar merumuskan gula sukrosa mampu bertindak sebagai bahan pencegah penyakit bagi bayi yang baru dilahirkan. Hakikatnya terbukti kurma di perkaya dengan gula sukrosa!

Dengan sebegitu banyaknya manfaat khasiat kurma maka ia tidak wajar lagi di kunyah semasa bulan Ramadan sahaja. Umat Islam perlu mentradisikan kurma sebagai pencuci mulut semasa makan atau mengantikanya sebagai makanan ringan yang sedia ada mengandungi karbohidrat, gula, garam, lemak, pewarna dan perasa tiruan yang boleh membawa pelbagai komplikasi penyakit. Peri penting kurma untuk seisi rumah ini diperihalkan oleh Rasulullah SAW, "Rumah yang tidak ada kurmanya seperti rumah yang tiada makanan."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan