Nama Buku : Mudahnya Menjemput Rezeki
Penulis/Penerbit : Fathuri Salehuddin
Harga : RM 18.00
Genre : Motivasi Kehidupan (184 mukasurat)
"Seringkali bila sebut pasal rezeki, apa yang tergambar di fikiran kita mesti tentang DUIT! Duit masuk, duit banyak, menang duit.. pendek kata.. semua pasal duit la. Pada mulanya, saya ingatkan buku ini ajar cara nak jadi kaya. Yelah siapa tak nak RM kan. Ingatkan nak kena menabung ke, menyimpan dalam unit amanah ke, melabur wang atau hartanah ke. Tetapi, rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Bila membaca buku ini, persepsi saya mengenai rezeki berubah kerana penulis telah berjaya membuka minda kita untuk lebih memahami apa yang dikatakan sebagai rezeki. Hidup pun tenang u. Berasa cukup dengan yang ada..berasa syukur dengan yang banyak.
Rezeki bukan sekadar duit atau harta, kesihatan juga rezeki, ilmu juga rezeki, udara, air, tumbuh-tumbuhan semua adalah rezeki. Kecerdikan, kesabaran juga rezeki. Termasuklah yang dikatakan sebagai pintu rezeki iaitu kesungguhan dalam berusaha. Hakikatnya, setiap dari kita mempunyai rezeki yang tersendiri mengikut kelebihan masing-masing.
Menyelak dari sehelai ke sehelai tulisan beliau yang dikongsi berdasarkan pengalaman sendiri berupaya memberikan keyakinan kepada kita untuk melakukan perubahan. 'Mudahnya Menjemput Rezeki' merungkai rahsia mudah untuk mendapat rezeki. Tetapi jangan terkejut, bila mendapati apa yang dikongsi itu bukanlah rahsia sebenarnya, memang kita tahu pun, cuma kita ini mudah lupa bila dapat nikmat. Bila diuji dengan susah barulah teringat pada Empunya Rezeki."
MENJEMPUT REZEKI VS MENCARI REZEKI
Menjemput rezeki memang lebih mudah berbanding mencari rezeki. Mencari bermakna kita tidak tahu tempatnya. Kita akan tercari-cari kerana tidak pasti atau tidak tahu di mana sesuatu itu. Sedangkan menjemput pula, biasanya lebih mudah kerana kita sudah tahu tempatnya dan kita akan berusaha ke arah itu. Kita sudah tahu REZEKI ITU HANYA DARI ALLAH. Maka buat sahaja apa yang Allah suruh.
"Perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan balasan baik bagi orang-orang yang bertaqwa." (Ta Ha : 132)
Menurut pengarang Tafsir Al-Quran Asy-Sya'rawy :
"Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya, sama ada halal ataupun haram, sama ada baik ataupun buruk."
"Beerti apa sahaja yang kita rasakan manfaatnya bermakna ia adalah rezeki kita, dan segala sesuatu yang tidak dapat kita mengambil manfaat daripadanya, (walaupun milik kita) bukanlah rezeki kita, tetapi rezeki orang lain."
"Apa yang didapati melalui usaha kita, terdapat padanya rezeki orang lain. Setiap bulan kita membawa pulang sejumlah gaji. Kemudian, kita membeli ikan di pasar, jadilah ia rezeki penjual ikan. Beberapa hari berikutnya, ada orang datang ke rumah kita menjual minyak angin. Walau sudah ada minyak angin di rumah, kita masih membelinya kerana kasihan melihat wajah si penjual. Itu sudah memang ditakdirkan rezeki sang penjual minyak angin. Pada hujung minggu, kita mendengar khabar anak jiran sakit dan kita melawatnya sambil menghulurkan sedikit sumbangan. Baru kita tahu dalam gaji kita itu ada pula rezeki si anak jiran. Milik kita belum tentu rezeki kita."
"Tidak ada sesiapa yang boleh mengambil rezeki kita. Semuanya hanya boleh berlaku dengan izin Allah. Tidak perlulah kita bersangka buruk kepada sesiapa apabila rezeki kita menjadi sempit atau berasa hebat apabila rezeki melimpah-ruah. Banyak atau sedikit, ia datang dari Allah."
Bagaimana nak menjemput rezeki? Nah, inilah formulanya!
(1) Mengutamakan Solat
(2) Solat Tahajud
(3) Solat Dhuha
(4) Zikir
(5) Doa
(6) Mendoakan Orang Lain
(7) Sedekah
(8) Membaca Al-Quran
(9) Asma'ul Husna
(1o)Bersyukur
(11)Tekun Berusaha
Selamat Beramal !
karmila : Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah berfirman : "Sesungguhnya di kalangan hamba-hambaKu ada yang keadaannya itu baik dalam keadaan kaya, kalau Aku menjadikannya miskin akan rosaklah keadaannya, dan ada pula antara hambaKu yang keadaannya itu baik jika dalam keadaan miskin, kalau Aku menjadikannya kaya akan rosaklah keadaannya, dan ada daripada hamba-hambaKu yang keadaannya baik jika dalam keadaan sihat, kalau Aku menjadikannya sakit akan rosaklah keadaannya, dan ada di kalangan hamba-hambaKu yang keadaannya baik jika dalam keadaan sakit, kalau Aku menyembuhkannya akan rosaklah keadaannya." (Riwayat Abi Dunya dan Baihaqi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan