Sabtu, 5 Disember 2015

DIAGNOSIS & DIAGNOSIS 2

" Emm.. best jugak. Lain dari yang lain. Tak sangka.. doktor juga 'pandai' menulis."

Itu persepsi saya tatkala pertama kali membaca novel Diagnosis. Lepas habis satu cerita, teringin lagi nak baca cerita yang seterusnya.. hingga tak sedar dah sampai kulit belakang. Walaupun kebanyakan penulisan adalah berdasarkan pengalaman setiap doktor dalam berhadapan dengan pesakit, almaklum itu kerjaya dan hidup mereka, namun, bagaimana cara para doktor ini menterjemahkan dalam bentuk penulisan, memang itu suatu yang patut dipuji. Of course, terma-terma perubatan tu memang ada, tetapi jangan risau, ada dibuat nota kaki di bawah. Yang paling saya ingat sekali.. tekanan darah normal 120/80mmHg. Hihihi..

So, bagi you alls yang terasa muak dengan lambakan cerita jiwang-jiwang, gaduh-gaduh sayang, kahwin paksa, perosak rumahtangga orang.. emm.. rasanya lebih berbaloi memilih buku ini untuk bacaan masa senggang korang. Ada macam-macam rencah dalam buku-buku ini, ada gembira..sedih, ada sinis, ada cinta..kasih sayang, ada suspen, motivasi, monolog, fiksyen dan turut diselitkan peringatan berupa maksud ayat Al-Quran dan Hadis. Semua perkongsian ini digarap dengan cukup baik oleh para penulis sehinggakan kita merasakan seolah-olah suasana itu berlaku di hadapan kita. Memang real! Satu lagi yang saya suka, dalam Diagnosis2, ada 6 karya yang dihasilkan ditulis dalam bahasa inggeris yang sangat baik, mudah difahami dan terasa seperti membaca karya fiksyen Inggeris pula. Very nice writing!

Tahniah kepada para doktor kerana anda telah berjaya menghasilkan karya yang sangat bermakna, yang dapat memberi inspirasi, renungan dan pengajaran dalam menempuh kehidupan.



Nama Buku : Diagnosis
Penulis : Dr. Anwar Fazal, Dr. Aizzat & Dr. Azah
Penerbit : Dubook Press
Harga : RM 20.00
Genre : Motivasi Kehidupan (21 karya : 142 mukasurat)







Kalau mahu jadi DOKTOR sebab mahu:
1) Kaya
2) Bergaya
3) ’Glamour’
4) Rasa ‘Superior’

Lupakan serta merta. Kuburkan cita-cita mahu jadi doktor segera. Masih banyak kerjaya lain yang dapat berikan kamu semua di atas, bukan kerjaya kedoktoran.
Ini kerjaya yang akan buat kamu rasa betapa dengkelnya ilmu manusia dan betapa hebatnya kuasa Dia. Ini kerjaya yang boleh buat kamu lebih hargai setiap degup jantung manusia kerana ia mampu berhenti tiba-tiba, pada bila-bila masa. Ini kerjaya yang boleh buat kamu terpaksa korbankan banyak perkara yang kamu mahu di dunia (antaranya cinta) kerana mahu menyelamatkan nyawa.
Maka kerana itu DIAgnosis tercipta untuk memberi inspirasi dan pengajaran bukan hanya pada doktor, bakal doktor atau semua yang berkerja dalam bidang perubatan tetapi juga disasarkan pada semua lapisan masyarakat.






Nama Buku : Diagnosis2
Penulis : Dr. Anwar Fazal, Dr. Aizzat, Dr. Azah, Dr. Beni Rusani, Dr. Fatin Liyana, Dr. Mafetz & Dr. Mahyuddin
Penerbit : White Coat Enterprise
Harga : RM 32.00
Genre : Motivasi Kehidupan (35 karya : 250 mukasurat)




Kerjaya ini memaksa kamu untuk melihat nilai nyawa dari pelbagai dimensi. Ia menjadikan kamu penonton setia drama tragis dan gembira yang berselang seli saban hari. Kamu menjadi watak pada transisi hidup mati. Protagonis atau antagonis, bergantung pada mata penilai manusia tetapi hakikatnya hanya Penilai Mutlak lebih tahu semua yang bersarang di hati. Kerjaya ini,jika benar untuk Ilahi,pasti akan menundukkan hati dan buat rasa rendah diri.
Ada tikanya bila kamu berjaya menyelamatkan nyawa dengan izinNya, bila pesakit mula membuka mata dan melakarkan senyuman manisnya, bila ahli keluarganya merangkul atau menjabat erat tangan kamu dengan mata berkaca, saat itu kamu tahu inilah kerjaya yang paling ‘kaya' dan kamu rela bersengkang mata, mengerah tenaga hingga ke sisa-sisa akhir yang ada kerana kamu tahu ‘rasa itu’ rasa yang tak mampu dibeli biar dengan segunung harta materi di dunia. Ya, ini kerjaya kami selamanya
Moga sekuel Diagnosis ini mampu membuka mata semua yang hidup ini hanya persinggahan sementara dan tujuan kita bernyawa tidak lain tidak bukan ialah untuk menjadi hamba. Bacalah dengan hati dan minda yang terbuka.
Ini buku untuk semua. Bacalah dengan namaNYA. Baca.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan