Sabtu, 13 Ogos 2016

KETIKA USIA 40 TIBA




Pabila usia menginjak 40 tahun... 

Bangga?  Ya, aku bangga, kerana sudah mula melihat sesuatu dengan hikmah, semakin matang berfikir, membuat keputusan dengan penuh kebijaksanaan.  Mengambil ikhtibar berdasarkan pengalaman dan membuang segala ruang kedangkalan. 

Risau?  Ya, aku risau juga, sebab bila belek-belek muka sudah mula nampak pudar cantiknya.  Sudah mula nampak garis-garisnya. Sudah mula lenguh sendi-sendinya.  Lantas, mula meninjau-ninjau supplemen yang mana dapat meremajakan kulit dan terus kekal bertenaga. 

Takut?  Ya, rasa amat takut kerana usia ini menjadi tanda aras sejauh mana kualiti amal ibadah yang telah dilakukan, sejauh mana kesungguhan memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dan sejauh mana sifat mahmudah mengatasi sifat mazmumah sebagai cerminan. 

Malu?  Ya, aku malu, tatkala Allah mewahyukan kepada kekasihNya Nabi Muhammad SAW wahyu yang pertama pada usia 40 tahun. Terus berdakwah menyatakan keesaan Allah SWT…tetapi…aku masih mengira usia 40 tahun itu sebagai pencetus kenikmatan dunia !

Ya Allah! Selamatkan kami pada usia ini sehingga ke saat kami bertemuMu, Ya Allah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan