Jumaat, 23 Oktober 2020

CARILAH AKU DI NERAKA

 

https://www.youtube.com/watch?v=irXhxz_1HiQ

Credit to Inteam Digital

#carilahakudineraka  #CADN

Fadzli Far East feat. Maliq Suhaimi

Apabila penghuni Syurga telah masuk ke dalam Syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu di dunia.  Mereka bertanya tentang sahabat mereka kepada Allah, "YA RABB... Kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di dunia solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami?  Maka ALLAH berfirman : "Pergilah ke neraka, lalu keluarkan sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada IMAN walaupun hanya SEBESAR ZARRAH."

(Hadis Riwayat Imam Ibnul Mubarak Dalam Kitab 'Az-Zuhd")


Imam Al-Hasan Al-Basri berkata: "Perbanyaklah sahabat-sahabat mukmin mu, kerana mereka memiliki syafa'at pada hari kiamat nanti."

Imam Ibnul Jauzi pernah berpesan kepada sahabat-sahabatnya sambil menangis: "Jika kalian tidak menemukanku nanti di syurga bersama kalian, maka tolonglah bertanya kepada Allah tentang aku: "Wahai Rabb Kami. Hamba-Mu si fulan, sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami tentang Engkau. Maka masukkanlah dia bersama kami di syurga-Mu." Sahabat-sahabatku. Mudah-mudahan dengan ini, aku telah mengingatkanmu tentang Allah. Agar aku dapat bersertamu kelak di syurga dengan Redha-Nya. Aku bermohon kepada-Mu; Kurniakanlah kepadaku sahabat-sahabat yang selalu mengajakku untuk tunduk patuh dan taat kepada syariat-Mu. Kekalkanlah persahabatan kami hingga kami bertemu di akhirat kelak.

Selasa, 20 Oktober 2020

DOA ABU UMAMAH

 


Hadis Abu Said al-Khudri RA. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”


Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”    Riwayat Abu Daud (4/353)


DOA ABU UMAMAH ini bukan hanya untuk masalah hutang dan penindasan manusia. Tetapi juga sebagai DOA PELINDUNG PENYAKIT HATI dan JIWA : 

Resah Gelisah (anxiety) - perasaan resah dengan sesuatu yang menimpa atau kebimbangan tentang sesuatu yang belum berlaku 

Sedih (depressed) - meratapi kesedihan, kekecewaan, kemurungan 

Lemah (helpless) - lemah fizikal, lemah pemikiran, lemah jiwa, rasa tidak berdaya 

Malas (laziness) - malas berfikir, malas berusaha, malas bekerja, malas belajar 

Pengecut (coward / lacks courage) - penakut, kurang keberanian, kurang keyakinan

Bakhil (stingy) - kedekut dari sudut harta & ilmu, menganggap nikmat yg dirasai atas usaha sendiri, tidak berasa ada hak orang lain dalam hartanya (tidak mahu bersedekah & berzakat)

karmila : Jom beramal dengan doa dari hadis yang masyhur ini. Moga Allah kurniakan ketenangan jiwa dan dipermudahkan segala urusan hidup kita.


Isnin, 19 Oktober 2020

TABAYYUN VS TIBAIYUN



 

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نادِمينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat :6)


DEFINISI TABAYYUN

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud menthabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebenciaan. Perintah untuk “tabayyun” merupakan perintah yang sangat penting agar kita dapat mengelakkan dari berprasangka.

Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3485-bayan-linnas-siri-ke-184-tabayyun-dalam-penerimaan-dan-penyampaian-berita


يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti

Ini adalah apabila ada orang yang fasiq  datang bawa maklumat. Iaitu jenis yang dengar sahaja dan dia sampaikan tanpa memastikan berita itu benar atau tidak.

Ini adalah sifat munafik. Dan ia berlawanan dengan syariat agama. Kerana tidak boleh sampaikan berita kecuali benda itu pasti benar. Telah disebut tentang perkara ini  di dalam Al-Qur’an dan sunnah tentang perkara ini. Sila rujuk ayat Isra : 36.

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Maknanya, jangan kita memperkatakan sesuatu tanpa kita ada ilmu – iaitu tanpa kita tahu yang ianya benar atau tidak. Kita kena pastikan ianya benar sebelum kita sampaikan kepada orang lain.

Ada satu hadis yang jelas berkenaan perkara ini juga. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim bin Al-Hajjaaj رحمه الله dalam kitab Shahiih-nya dengan sanad dan matan lengkapnya :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَفْصٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ خُبَيْبِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، قال : كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا، أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ


Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah, telah menceritakan kepada kami ‘Aliy bin Hafsh, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Khubaib bin ‘Abdirrahman, dari Hafsh bin ‘Aashim, dari Abu Hurairah, dari Nabi , beliau bersabda, “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika dia menceritakan 

semua yang dia dengar.” [Shahih Muslim no. 6]


Jadi sudah ada dua dalil yang kuat (Al-Qur’an dan hadis) tentang perkara ini. Dan kalau dua dalil ini tidak dipakai, maka orang itu dikira sebagai orang yang fasik kerana tolak hukum. Maka jangan kita jadi seperti mereka. Kalau tidak pasti lagi kesahihan sesuatu perkara, jangan sebarkan. Kalau nak sebarkan, kena periksa dulu.

Ini banyak terjadi dalam zaman sekarang yang semakin teruk. Kerana senang sangat maklumat hendak diforward kepada orang lain. Dengan sekali tekan sahaja, beratus orang boleh terima maklumat yang entah benar entah salah. Yang forward itu pun bukannya pastikan ia benar atau tidak, janji dia forward dulu. Maka ini perlulah diberhentikan serta merta. Jangan lagi jadi ‘kaki forward‘.

Kalau tidak, ia boleh menjadi masalah besar kerana maklumat boleh salah didengari dan kerana itu boleh salah penyampaian kepada orang lain. Kalau tidak percaya, boleh buat eksperimen satu permainan yang dipanggil ‘Telefon Karat atau Chinese Whisper‘.

Beri satu maklumat kepada seorang dan suruh dia sampaikan kepada orang lain. Katakanlah ada 10 orang bermain. Kalau kita lihat balik apakah maklumat yang disampaikan oleh orang yang kesepuluh itu, ia sudah tentu lain dari maklumat yang kita sampaikan kepada orang yang pertama. Ini terjadi kerana kebiasaan manusia yang akan tambah maklumat mereka sendiri (kadangkala tanpa sengaja). Mereka tambah itu sedikit sahaja tetapi ia akan menjadi banyak lama kelamaan.

Ini kerana kita selalunya faham sesuatu perkara itu dan kita simpan maklumat itu menggunakan pemahaman kita sendiri. Dan kemudian kita keluarkan juga ikut pemahaman kita. Dan pemahaman kita tidak semestinya sama dengan orang lain. Orang lain pula, bila dia terima, dia pun akan terima ikut pemahaman dia pula. Jadi boleh nampak bagaimana perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan?

Jadi, apabila kita dapat maklumat dari orang-orang yang tidak endahkan tentang hukum penyebaran maklumat, kena pastikan kebenarannya. Mereka kena jelaskan dari mana mereka dapat maklumat itu. Dan kita kena minta bukti dari mereka. Dan kalau mereka tidak ada bukti, jangan dengar. Kena tanya dia balik: “Kau pastikah maklumat ini benar? Kau dapat dari mana?”

Dan jangan cerita pula kepada orang lain (jangan panjangkan lagi). Ini penting kerana orang beriman kena pastikan maklumat yang dibawa. Orang yang fasiq adalah orang yang tidak memastikan kesahihan maklumat itu.


أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهٰلَةٍ


agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan

Maklumat yang salah ada kesannya. Bukan setakat bercakap sahaja, bukan setakat cerita sahaja. Maklumat yang salah akan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Dan ini akan terjadi kerana kejahilan kita yang tidak memastikan maklumat itu benar atau tidak. Kerana mungkin maklumat yang salah itu menyebabkan jatuhnya nama seseorang, menyebabkan perkelahian, menyebabkan jatuh perniagaan seseorang dan sebagainya.

Kesan yang terkait boleh jadi besar, sedangkan kita cakap senang sahaja masa minum-minum di kedai kopi sahaja. Tetapi pada orang lain, mereka melihat ianya masalah yang besar pada mereka. Kita sendiri pun mungkin pernah kena dengan perkara ini bukan? Kadang-kadang bila dikaji balik, baru nampak bagaimana ianya adalah salah faham sahaja. Dan permasalahan itu boleh dielak jikalau pihak yang mendapat maklumat itu periksa dahulu sama ada berita itu benar atau tidak.

Dan jangan kita lupa bagaimana masalah yang kecil boleh jadi besar. Ia boleh jadi terlalu besar sampai tidak boleh hendak diselamatkan. Mungkin kerana berita palsu, orang akan habiskan duit mereka dan tidak dapat diambil kembali. Maka kena selidiklah dahulu apa yang disampaikan kepada kita. Inilah dinamakan TABAYYUN.


فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ

yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu

Kalau kita tidak berhati-hati dengan maklumat yang diterima dari orang fasik, kemudian kita sampaikan kepada orang lain, dan ada masalah atau kerugian yang timbul, kita sendiri yang akan menyesal nanti. Jadi ALLAH telah beri nasihat awal-awal supaya jangan lakukan perkara itu.

Maka kena sabar dulu dari sebarkan. Janganlah ikut perangai kebiasaan orang. Kena ingat yang manusia ini memang ada dua sifat yang susah nak dihilangkan, hendak tahu dan hendak beritahu :

Pertama, dia sibuk hendak tahu tentang orang.

Kedua, dia sibuk nak cerita tentang orang kepada orang lain.

Wallahu 'alam bissawab.

https://celiktafsir.net/2017/05/22/hujurat-ayat-6-8/

Khamis, 8 Oktober 2020

KISAH SAIDINA AMRU AL-AS : PERANG ZATUSSALASI





Cerita minggu lepas.  Allah beri kesempatan masa untuk sama-sama berusrah dengan sahabat yang hebat-hebat belaka.  Naqibah kak Noraishah Abd Rahim, Ustazah Rozaidah Mohd Radzi, Ustazah Norsal Rahila, kak Rahayu Mat Nayan, Adila Kamal dan  Amira Husna.  Moga Allah merahmati kalian semua. 

Antara pengisian usrah adalah perbentangan dari Ustazah Rozaidah Mohd Radzi berkisar tajuk MENTAATI ARAHAN PIMPINAN dengan berkongsi sirah dari kisah SAIDINA AMRU AL-AS.  Moga ada pengajaran yang kita dapat kutip sebagai bekalan perjuangan.  Insya Allah. 


KISAH SAIDINA AMRU AL-AS 

PERANG ZATUSSALASI 

Rasulullah SAW melantik Amru Al-As sebagai ketua angkatan tentera Islam ke Zatussalasi (Zat Al-Salasil) kerana nenek sebelah bapanya Al-As dari kabilah yang berada di situ. Maka, sudah tentu Amru sangat mahir dan tahu akan selok belok kawasan tersebut. Amru Al-As yang baru 5 bulan memeluk Islam dihantar bersama pasukan 300 orang tentera untuk memerangi qabilah Arab yang bersekongkol dengan pihak Rom menentang tentera muslimin dalam perang Mu'tah. Amru membawa tentera bergerak pada waktu malam dan bersembunyi pada waktu siang. Apabila sampai dekat dengan Khudhaah, mereka mendapat berita bahawa Khudhaah membuat persiapan yang sangat besar. Dengan itu, dia menghantar utusan kepada Nabi Muhammad memohon bantuan bagi menghadapi kekuatan Khudhaah. Baginda mengutuskan 200 orang tentera yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bagi membantu Amru. Dan di kalangan tentera tersebut adalah sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW, antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Nabi Muhammad berpesan kepada Abu Ubaidah supaya jangan menyalahi pandangan Amru. Pasukan bantuan ini tiba sebelum Amru menyerang Khudhaah. Apabila masuk waktu solat, Abu Ubaidah mahu maju ke depan mengimami solat selaku ketua pasukan.

Kata Amru, "Wahai Abu Ubaidah, kamu sebagai pasukan bantuan kepada aku, akulah yang akan mengimami pasukan tentera."  Abu Ubaidah menghormati pandangan Amru dan menarik diri dari menjadi imam. 

1. Melarang menyalakan unggun api 

Operasi ini berlaku di musim sejuk, dalam keadaan cuaca yang sangat-sangat sejuk sehingga memerlukan api untuk memanaskan badan. Tiba-tiba, Amru mengeluarkan arahan melarang tentera Islam menyalakan api. Bahkan sesiapa yang melanggar arahan akan dihukum bakar dengan api yang dinyalakan. Kata-kata Amru Al-As ini membangkitkan kemarahan Umar Al-Khattab. Lantas Abu Bakar segera menenangkannya seraya berkata, "Wahai Umar, sesungguhnya Rasulullah telah memerintahkan kita supaya mentaati dan tidak mengingkari. Rasulullah melantiknya kerana kebolehan dan kebijaksanaan yang ada padanya.” 

2. Bertayamum dan mengimami solat Subuh 

Pada keesokkan paginya, Amru bertayamum, semasa mahu bersolat subuh. Umar ternampak lalu bertanya, "Wahai Amru, kenapa kamu bertayamum?"
Kata Amru, "Aku bermimpi dan berhadas besar."

Kata Umar lagi, "Air ada, wahai Amru, kenapa kamu tayamum."

Kata Amru mempertahankan pandangannya, "Cuaca terlalu sejuk. Tidak mungkin aku mandi dengan air."

Amru mengimamkan solat subuh pasukan tenteranya hanya dengan bertayamum selepas dia berjunub. Para sahabat semakin tertekan dengan sikap Amru, tetapi kerana mentaati pemimpin yang dilantik oleh Nabi Muhammad, mereka bersangka baik dengan Amru.

Umar datang mengadu kepada Abu Bakar berkenaan keputusan-keputusan Amru yang tidak dipersetujui.

Kata Abu Bakar, "Wahai Umar, kalaulah Amru bukan lebih baik daripada kamu dalam menjalankan misi ini, nescaya Muhammad tidak melantik dia memimpin kamu."

3. Tegahan mengejar tentera musuh 

Selepas solat subuh, mereka menyerang Khudhaah. Serangan yang mengejutkan dan kuat. Khudhaah tidak menyangka langsung. Perisik-perisik mereka tidak berjaya mengesan pergerakan tentera Islam. Semua tentera musuh lari berundur meninggalkan medan perang dan harta mereka. Tentera Islam mula ingin mengejar dan menawan tentera musuh. Pada masa itu, Amru mengeluarkan satu lagi arahan yang mengejutkan semua orang. Dia memerintahkan tentera Islam membiarkan tentera musuh lari. Tentera Islam diperintahkan berundur semula, mengambil harta rampasan dan pulang ke Madinah. 

Jawapan Amru Al-As kepada Rasulullah SAW 

Setibanya di Madinah, anggota tentera Islam melaporkan perkara-perkara yang dilakukan oleh Amru kepada Rasulullah SAW. Baginda memanggil Amru dan meminta penjelasan dari beliau : 

Rasulullah SAW bertanya kepadanya,"Wahai Amru, kenapa kamu biarkan tentera kesejukan dan kamu melarang mereka menyalakan api?" 

Jawab Amru, "Wahai Muhammad! Bilangan kami sedikit sedangkan bilangan tentera musuh beribu-ribu. Kami berada di kawasan musuh, jikalau api dinyalakan, nescaya musuh menyedari ketibaan tentera Islam. Musuh tentu dapat melihat dan mengetahui jumlah anggota tentera Islam dan pasti mereka akan membunuh kami semua.” 

"Kamu adalah benar. Kenapa kamu mengimami solat hanya dengan tayamum selepas kamu berjunub sedangkan ada air?" Rasulullah bertanya lagi. "Wahai pesuruh Allah! Kalau aku mandi dengan air, aku akan binasa kerana cuaca terlalu sejuk. Allah melarang daripada membiarkan diri binasa." 

Lantas, Amru Al-As membacakan potongan ayat dari Surah An-Nisa' ayat 29 : 

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا 

(Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang terhadap kamu) 

Rasulullah SAW ketawa mendengar jawapan Amru Al-Asr dan kemudian senyap (tanda mengiyakan tindakan Amru Al-As). 

“Kenapa kamu melarang tentera Islam mengejar dan menawan pihak musuh yang berundur?"   

"Tentera Islam telah menang dan dapat mengumpulkan ghanimah, ini sudah dapat menggerunkan musuh. Aku khuatir jika mengejar mereka, ia merupakan suatu penipuan untuk memerangkap tentera Islam." 

"Kamu benar." Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan semua keputusan Amru. 


Karmila : Mari kita hayati ibrah (pengajaran) yang sangat berguna buat kita semua daripada sirah ini : 

1. Wala’ (kesetiaan) dan taat (kepatuhan) kepada arahan pimpinan selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

2. Faktor usia yang 'senior' bukan satu-satunya kriteria yang dilihat dalam memilih kepimpinan yang baik. 

3. Faktor usia yang ‘junior’ atau ‘muda’ bukan menjadi penghalang untuk dilantik sebagai pimpinan selagi mana ia menepati kriteria sebagai pemimpin. 

4. Para sahabat ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan sahabat yang lain, namun mereka tidaklah membicarakan secara terbuka ketidaksetujuan tersebut sehingga menjadi pemecah belah di kalangan mereka. Yang penting, mereka berlapang dada dan ukhuwah terjalin seperti biasa. 

5. Para sahabat yang menyertai peperangan tersebut tidak membuka mulut menjaja cerita tetapi bersikap Tabayyun iaitu mendapatkan terlebih dahulu penjelasan dan memahami rasional sesuatu perkara. 

6. Keikhlasan dalam menyertai perjuangan menegakkan Islam kerana mengharap Redha Allah semata, bukan kerana faktor duniawi. 

7. Kebijaksanaan dalam beroganisasi, menjaga disiplin dan mengatur strategi mengikut keperluan. 

8. Tetap istiqamah dengan perjuangan walaupun menghadapi pelbagai cabaran mehnah dan tribulasi. 

 Wallahu’alam bissawab. 



#usrahdmpktambun   #muslimatAKIFI   #ukhuwahfillahtilljannah

Jumaat, 19 Jun 2020

SETANGGI SYURGA 2020

https://www.youtube.com/watch?v=yomFDefkxE0

Credit to Seventeen Eleven Music

SETANGGI SYURGA 2020


INTEAM ft. KHAI BAHAR
(Album asal : Inteam '04 )
Lagu: Manis Helma (Hijjaz Records)
Lirik: ITO Lara (Gurindam Entertainment)

#SetanggiSyurga2020 #Inteam #KhaiBahar

Kata-kata puitis mendambakan kenikmatan Syurga Abadi
  
Lirik :
Percaya kata janjiMu
Kerna ku yakin apa di genggamMu
Keharuman setanggi syurga
Bukan kilauan sebilah belati
  
Yakin dengan janji ALLAH.  ALLAH memberikan khabar gembira kepada orang-orang beriman dan beramal soleh, iaitu SYURGA buat mereka.
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu’; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan/isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”  (QS. Al-Baqarah : 25)

Syurga itu selain indah, cantik dan menawan, juga memiliki bau yang amat wangi. 
Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah RA berkata: "Ya Rasullullah, dari apakah dibuat syurga itu?" Jawab Nabi Muhammad SAW: "Dari air." Kami bertanya: "Beritakan tentang bangunan surga." Jawab Nabi SAW: "Satu bata dari emas dan satu bata dari perak, dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya."
Bau Syurga yang boleh dihidu oleh manusia berdasarkan hadis Rasulullah SAW adalah berbeza-beza, mungkin berdasarkan kepada amalan manusia itu sendiri. Ada hadis yang menyebut sehingga jarak perjalanan 70 tahun, 400 tahun hingga 500 tahun.
Kenikmatan Syurga bukanlah suatu yang sementara.  Diibaratkan seperti kilauan sebilah belati.  Belati sejenis pisau, bila diarahkan ke arah cahaya, ia berkilau, tapi bila tidak diarahkan kepada cahaya, ia takkan berkilau lagi.

Lirik :
Tersiksa jiwa merindu
Bagai terkurung dibasah tengkujuh
Kewangian aroma bunga
Tak menggugah keteguhan iman

Rindu yang melonjak-lonjak untuk merasai nikmat Syurga yang dijanjikan. Namun ALLAH mengkehendaki jika hendak masuk Syurga perlu melepasi perkara-perkara yang dibenci oleh nafsu. Kenikmatan syurga yang sementara tak mampu menggugat keteguhan iman.


Lirik :
Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur
Pada redup renung mata yang menipu
Tuntas ku mendaki
Puncak cinta teragung

Cinta kepada ALLAH melambangkan cinta yang tidak mudah goyah, tidak mudah tunduk dengan tuntutan nafsu dan terpedaya dengan tipu daya dunia.  Sebaliknya, mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Lirik :
Izinkan aku melafazkan kata
Bicara hati yang mudah diterjemah
Betapa aku gerun pada teduh tuk bernaung
Kerna awan itu rapuh

Kesaksian cinta antara hamba dan Penciptanya.  Betapa takutnya seorang hamba untuk meletakkan pengharapan dan kebergantungan kepada sesuatu selain dari ALLAH, sesuatu yang tidak kekal dan pasti rapuh.

Lirik :
Dendam tak marak menyala dan membakar
Oleh putih salju yang berguguran
Kerna dosa itu
Lebih hitam dan kelam

Antara ciri-ciri ahli Syurga adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsunya termasuk dendam dan sifat-sifat mazmumah yang lain.  Namun dengan Rahmat ALLAH dan dengan segala amal kebaikan yang dilakukan mampu melebur dosa yang hitam dan kelam itu.

Lirik :
Ku anyam rindu menjadi hamparan
Kerna ku pasti adanya pertemuan
Di sana nanti bukti cinta suci dilafazkan
Tak bertemu pengucapan

Kerinduan kepada ALLAH SWT adalah buah dari bertakhtanya cinta dalam hati seorang hamba.  Bersabar menganyam rindu sejak di dunia lagi untuk bertemu dengan ALLAH di Syurga abadi sebagai lambang kecintaan tanpa perlu kepada pengucapan. Apatah lagi rindu dengan kenikmatan Syurga yang telah dijanjikan oleh ALLAH kepada hambaNya dan kekal dalam redha ALLAH selamanya di dalam Syurga.

Lirik :
Percaya kata janjiMu
Kerna ku yakin apa di genggamMu
Keharuman setanggi syurga
Bukan kilauan sebilah belati

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya. 
(Ali Imran : 9)


DOA MEMOHON SYURGA

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وأََعُوذُ بِكَ مِنَ النَّار
"Allahumma inni as alukal jannah, wa a'uuzubika minannar."

Ya Allah sesungguhnya aku memohon padaMu syurga, dan aku berlindung denganMu daripada neraka.
[HR Abu Daud & Ibn Majah]